Tiada tindakan terhadap Farhash, Amirudin, kata PKR

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Amirudin Shari.

PETALING JAYA: PKR hari ini mengumumkan tiada tindakan disiplin akan diambil terhadap Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari.

Lembaga disiplin berkata biro politik berpuas hati dengan penjelasan kedua-dua mereka dan Farhash juga memohon maaf.

“Amirudin dan Farhash sudah jawab surat peringatan yang saya berikan. Hari ini saya bentangkan pada biro politik dan intipati jawapan yang mereka berikan. Secara umumnya, biro politik menerima penjelasan mereka,” kata Pengerusi Ahmad Kasim pada sidang media selepas mesyuarat biro politik hari ini.

Sebelum ini, Farshah diarah menjelaskan ungkapan jelik terhadap Timbalan Presiden Azmin Ali selepas dia dibebaskan daripada reman 8 hari dalam siasatan berkaitan video seks sejenis yang menyasarkan Azmin.

“Farhash memberi ucapan umum yang sebut istilah yang tak sepatutnya pada pimpinan tertentu dan lepas itu kita bagi surat untuk mohon penjelasan,” kata Ahmad.

Amirudin pula kerana ucapannya semasa majlis di kediaman rasmi menteri besar Selangor, dipercayai tentang dalang disebalik video itu.

“Kita dapati ia boleh ditafsir dengan pelbagai tafsiran dan kami mohon penjelasan,” kata Ahmad.

Ditanya adakah pihak lembaga ada menghantar surat tunjuk sebab kepada Azmin berhubung isu ketidakhadiran di mesyuarat-mesyuarat parti, Ahmad berkata tidak.

“Dia tidak buat apa-apa yang perlu kita keluarkan surat minta penjelasan,” katanya.

Beliau menambah perkara itu bukan bawah bidang lembaga disiplin.

“Itu urusan setiausaha agung,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pengelola, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pendirian PKR berhubung isu penceramah kontroversi Dr Zakir Naik.

Nik Nazmi berkata PKR menerima keputusan pihak berkuasa melarang penceramah dari India itu berucap di tempat awam.

PKR juga berpendirian Naik tidak wajar menggunakan forum dakwah untuk menyerang mana-mana kaum.

“Kami menyerah keputusan status penduduk tetap beliau kepada pihak berkuasa mengikut garis hukum dan persoalan kemanusiaan,” katanya.

Mengenai isu menghina tentera, PKR berkata kenyataan seperti itu tidak harus diulangi.