Utusan, Kosmo habis terjual, kedai kata ‘luar biasa’

Petronas Seksyen 16, Petaling Jaya kehabisan Utusan Malaysia

PETALING JAYA: Akhbar Utusan Malaysia dilihat habis terjual di kedai-kedai runcit, stesen minyak dan 7 Eleven malam tadi, selepas media melaporkan kakitangan syarikat akhbar itu bergelut dengan kehidupan harian kerana masalah kewangan syarikat.

Tinjauan FMT di kedai-kedai runcit dan stesen minyak mendapati pekerja terkejut dengan “sambutan luar biasa” untuk akhbar Utusan, begitu juga Kosmo, yang diterbitkan syarikat sama.

Siti Nur Fatihah Kamaruddin.

“Selalu malam ada lagi. Hari ini petang dah habis,” kata Siti Nur Fatihah Kamaruddin, 21, yang bekerja di Petronas Seksyen 16, Petaling Jaya.

“Hari ini ambil akhbar Utusan sebanyak 15 dan Kosmo sebanyak 20 dan semua habis,” tambahnya.

Sementara itu, seorang pekerja 7 Eleven di Merchant Square, Petaling Jaya, yang hanya mahu dikenali sebagai Ramrup, berkata semua akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo habis terjual sejak pagi lagi.

Ramrup.

“Walaupun kami ambil kuantiti yang sedikit 2 akhbar itu tetapi hari biasa jarang habis,” katanya.

Seorang pekerja di sebuah kedai runcit di Seri Kembangan, yang enggan dikenali memaklumkan Utusan Malaysia dan Kosmo laris hari ini.

Kelmarin, Utusan Melayu Berhad yang ditubuhkan pada 1939 dikatakan akan mencetak edisi terakhirnya esok, ketika hampir 100 kakitangannya berpiket di ibu pejabat menuntut tunggakan gaji 3 bulan.

Semalam, syarikat itu mengumumkan ia akan terus beroperasi tetapi harga Utusan Malaysia dan Kosmo akan dinaikkan sebanyak 50 sen mulai Jumaat ini.

Rak akhbar di 7 Eleven berdekatan Merchant Square, Petaling Jaya.

Ia disusuli dengan pembayaran gaji pendahuluan kepada kakitangan mulai malam semalam.

Pengarah Eksekutif Abd Aziz Sheikh Fadzir meminta rakyat menyelamatkan syarikatnya dengan melanggan Utusan Malaysia dan Kosmo atau membuat pengiklanan di 2 akhbar berkenaan.