Zakir akan hadir semula ke Bukit Aman berhubung laporan terhadap 5 individu

Zakir Naik dipanggil untuk memberi keterangan sebanyak 2 kali di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

KUALA LUMPUR: Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik dijangka hadir semula ke Bukit Aman dalam tempoh 2 hari akan datang untuk direkodkan keterangannya susulan laporannya terhadap 5 individu termasuk seorang menteri.

Peguamnya, Akberdin Abdul Kader, berkata polis mengklasifikasikan laporan Zakir di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjarakan sehingga 2 tahun, didenda atau kedua-duanya.

“Dia akan hadir semula ke ibu pejabat polis persekutuan esok atau Jumaat ini untuk membantu siasatan polis,” kata Akberdin kepada FMT.

Jumat lalu, Zakir membuat laporan polis terhadap bekas duta Malaysia Dennis Ignatius dan 4 wakil rakyat DAP: Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Adun Bagan Dalam Satees Muniandy.

Pendakwah itu sendiri menerima lebih 100 laporan polis yang menyaksikan beliau dipanggil pihak berkuasa untuk memberi keterangan.

Akberdin berkata polis memaklumkan kenyataan Zakir hanya direkodkan selepas penyiasat menyoal siasat 2 daripada individu yang difailkan laporan.

Zakir disoal siasat sebanyak 2 kali di Bukit Aman pada Isnin, selepas soal siasat yang berlangsung Jumaat lalu berhubung ucapan yang dibuatnya di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau dipercayai mempertikaikan kesetiaan masyarakat India Malaysia dan mempersoalkan kedudukan masyarakat Cina di Malaysia.

Beliau dilaporkan berkata masyarakat India Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding kerajaan Malaysia dan menggambarkan masyarakat Cina Malaysia sebagai “tetamu lama” yang harus kembali ke tanah kelahiran mereka sebelum beliau meninggalkan negara ini.

Semalam, Zakir memohon maaf atas apa-apa salah faham berhubung kenyataannya, mendakwa kenyataannya dipetik di luar konteks.

Beliau juga menghantar surat kepada ahli politik DAP dan Ignatius meminta permohonan maaf secara terbuka dan pampasan kerana memfitnah.

Semua 5 individu terbabit bagaimanapun menyahut cabaran saman yang difailkannya di mahkamah.