AS tawar AS$5 juta untuk maklumat pemimpin IS

Sejak Jabatan Negara AS memulakan program ‘Rewards for Jstice’ pada 1984, ia telah membayar lebih AS$150 juta kepada lebih 100 individu yang menyalurkan maklumat.

NEW YORK: Di bawah program “Rewards for Justice”, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengumumkan akan menawarkan ganjaran sehingga AS$5 juta untuk maklumat mengenai pemimpin utama kumpulan pengganas IS.

Individu yang disenaraikan ialah Amir Muhammad Sa’id Abdal-Rahman al-Mawla, Sami Jasim Muhammad al-Jaburi dan Mu’taz Numan ‘Abd Nayif Najm al-Jaburi.

Menurut kenyataan Jabatan Negara, maklumat lanjut mengenai ganjaran itu boleh didapati di laman web.

“Kami mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai individu ini supaya menghubungi talian (1-800-877-3927 di Amerika Utara), atau menerusi laman web, e-mel ([email protected]), atau melalui surat dihantar ke pejabat (Rewards for Justice, Washington, DC, 20520-0303, Amerika Syarikat).

“Selain itu, individu juga boleh menghubungi pegawai keselamatan serantau di kedutaan atau konsulat AS terdekat. Semua maklumat adalah rahsia,” kata Jabatan Negara.

Jabatan Negara menyifatkan program tersebut sebagai satu “cara penguatkuasaan undang-undang yang berkesan”, diselia oleh Perkhidmatan Keselamatan Diplomatik Jabatan Negara AS.

Sejak penubuhannya pada 1984, program itu telah membayar lebih AS$150 juta kepada lebih 100 individu yang menyalurkan maklumat.

Menurut Jabatan Negara, Rabu (21 Ogos) merupakan Hari Peringatan dan Penghormatan Antarabangsa kepada mangsa keganasan.