Boleh saran Dego Ride pada kementerian, kata Redzuan

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof.

SHAH ALAM: Menteri berkata Dego Ride, syarikat tempatan yang pernah menjalankan perkhidmatan perkongsian motosikal, boleh dicadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan, susulan “lampu hijau” Kabinet kepada cadangan membawa masuk syarikat Indonesia, Gojek.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof berkata Dego Ride tidak lagi menjalankan perkhidmatan itu selepas tidak dibenarkan oleh kerajaan lalu.

“Sekiranya ada model sama dengan Gojek boleh disarankan kepada kementerian. Ini bentuk industri yang nak diwujudkan atas sebab ramai anak muda merempit. Ini beri peluang kepada mereka,” katanya pada forum “Pemangkin Usahawan Negara” anjuran Sinar Harian hari ini.

Beliau menjawab soalan peserta yang menanyakan kenapa kerajaan menerima cadangan membawa masuk Gojek, sedangkan usahawan tempatan sudah membangunkan Dego Ride.

Semalam, Redzuan memaklumkan Kabinet bersetuju dengan cawangan memperkenalkan perkhidmatan perkongsian motosikal, dan Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Belia dan Sukan diminta mengkaji ruang dan undang-undang sedia-ada.

Beliau menjangkakan cadangan kementerian boleh dikemukakan sebelum hujung tahun ini.

Terdahulu, kerajaan tidak mahu meluluskan perkhidmatan perkongsian motosikal atas sebab-sebab keselamatan penunggang dan pembonceng, sehinggalah Menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan cadangannya kepada Kabinet.