Exco Perak didakwa rogol pembantu rumah diminta bercuti

Paul Yong Choo Kiong. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu “menasihatkan” Exco Paul Yong Choo Kiong bercuti daripada tugas-tugas rasmi sehingga perbicaraan kes dakwaan merogol pembantu rumahnya selesai.

Ia termasuk tidak mengambil bahagian dalam apa juga mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan.

Faizal berkata demikian selepas Peguam Negara Tommy Thomas memaklumkan Adun Tronoh itu akan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Paul dinasihatkan bercuti daripada tugas-tugas rasmi dan mesyuarat pembuat keputusan “bagi menghormati proses undang-undang”.

“Pada masa yang sama, kita juga menghormati prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun, membuat laporan polis mendakwa dirogol Yong di rumah majikannya itu di Meru, Ipoh.

Sehari selepas laporan dibuat, polis menangkap Paul yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan selesai dalam tempoh 24 jam.

Faizal berkata proses perundangan terhadap Paul tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan Perak, dan setakat ini tidak ada keperluan untuk melakukan sebarang rombakan drastik.

“Semua barisan exco sedia ada mampu memikul tanggungjawab untuk menjalankan urusan pentadbiran secara bersama,” katanya.

Faizal juga mempunyai pesanan kepada keluarga exconya itu, berharap isteri dan anak-anaknya bersabar melalui proses perundangan ke atas Paul.

“Saya berharap keadilan akan ditegakkan kepada semua pihak yang terlibat di dalam kes ini,” katanya.

Faizal juga menyeru semua penyokong Adun Tronoh itu supaya bertenang dan menghormati proses undang-undang, “dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merumitkan lagi keadaan”.

“Pada masa yang sama, saya menyeru orang ramai turut menghormati proses perundangan dengan tidak membuat sebarang spekulasi dengan cuba mendahului tugas polis, pendakwa dan hakim dengan menjatuhkan hukuman di media sosial,” katanya.