India desak Interpol keluar notis merah terhadap Zakir Naik

Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan India mengalu-alukan perintah larangan ceramah ke atas Dr Zakir Naik, dengan mendesak pengeluaran notis merah terhadap penceramah kontroversi itu sebagai langkah seterusnya untuk membawanya pulang ke negara itu.

Menurut Hindustan Times, Direktorat Penguatkuasaan (ED) India merancang untuk mendesak Interpol mengeluarkan notis merah ke atas Naik yang mempunyai status pemastautin tetap di Malaysia.

“Kami bersenjata dengan waran tangkap yang tidak boleh dijamin dan mengikut undang-undang, notis merah akan menjadi tindakan seterusnya,” memetik sumber ED sebagai berkata.

Naik dikehendaki di India sejak 2016 bagi siasatan pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan kebencian.

Bagaimanapun, beliau enggan pulang ke negaranya, mengatakan beliau tidak akan diberikan perbicaraan yang adil di bawah kerajaan BJP.

Gesaan untuk pengusirannya meningkat berikutan siri ceramah awam yang diberikannya di Kelantan di mana beliau didakwa mempersoalkan kesetiaan masyarakat India Malaysia terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau kemudiannya dipetik sebagai berkata masyarakat Cina Malaysia juga dianggap sebagai “tetamu lama” di negara ini.

Beliau disoal siasat sebanyak 2 kali di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dengan lebih 100 laporan polis dibuat terhadapnya.

Naik kemudian memohon maaf atas apa-apa salah faham berhubung kenyataannya tetapi mengatakan ia dipetik di luar konteks.

Sejak itu beliau dilarang berceramah di khalayak ramai di mana sahaja di negara ini, termasuk melalui platform media sosial, sehingga siasatan yang melibatkannya selesai.

Hiren Venegaonkar, peguam bagi ED India, berkata berita larangan ceramah terhadap Naik adalah “langkah yang dialu-alukan dari kerajaan Malaysia”.

“Sekarang kami membenarkan agensi siasatan kami memulakan tindakan membawanya kembali ke negara kita,” katanya dipetik sebagai berkata dalam laporan itu.