Kalau rasa tak selamat, jangan naik, Dr M ulas isu Gojek

Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA: Rakyat masih mempunyai pilihan lain sekiranya bimbang dengan keselamatan diri apabila menggunakan perkhidmatan perkongsian motosikal seperti Gojek, kata perdana menteri.

Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak memaksa rakyat memilih perkhidmatan yang akan diperkenalkan semula itu.

“Kalau rasa tak selamat, jangan naik,” katanya menjawab kebimbangan sesetengah pihak, selepas kerajaan membenarkan cadangan memperkenalkan semula perkhidmatan itu dibentang kepada Kabinet.

“Anda ada pilihan, kita tak paksa,” tambahnya, pada sidang media selepas majlis bersama penjawat awam hari ini.

Mengulas bantahan terhadap perkhidmatan itu, Dr Mahathir melihatnya sebagai perkara biasa.

“Sesetengah pihak akan menentang tetapi kita mahu tahu ia memberi manfaat kepada negara atau sebaliknya,” katanya.

Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof memaklumkan Kabinet bersetuju dengan cawangan memperkenalkan perkhidmatan perkongsian motosikal, dan Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Belia dan Sukan diminta mengkaji ruang dan undang-undang sedia-ada.

Beliau menjangkakan cadangan kementerian boleh dikemukakan sebelum hujung tahun ini.

Terdahulu, kerajaan tidak mahu meluluskan perkhidmatan perkongsian motosikal atas sebab-sebab keselamatan penunggang dan pembonceng, sehinggalah Menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan cadangannya kepada Kabinet.