Kempen pro-Naik cecah 100,000 tandatangan, bersaing dengan petisyen lawan

Rakyat terbahagi tentang Dr Zakir Naik ketika penceramah itu sedang disiasat polis.

PETALING JAYA: Satu petisyen dalam talian yang dilancarkan 2 hari lalu bagi menunjukkan solidariti pada penceramah Dr Zakir Naik sudah mencecah 100,000 tandatangan dan dijangka mengatasi petisyen yang menyeru pengusirannya.

Petisyen itu, yang antara lain dilancarkan Pemuda PAS Kedah, menggesa kerajaan memberi perlindungan kepada penceramah yang dikehendaki pihak berkuasa India itu, dan tidak menarik balik status pemastautin tetapnya.

Solidariti ini dilancarkan ketika Naik dilarang menyampaikan ceramah awam di seluruh negara susulan aduan orang ramai bahawa beliau mengapi-apikan sentimen perkauman.

“Kita menilai seseorang dengan ilmu dan hujah benar, bukan dengan prejudis dan melemparkan tuduhan melulu,” kata Pemuda PAS Kedah dalam kenyataan di platform petisyen dalam talian change.org.

Naik, yang berdepan pertuduhan pengubahan wang di India, berdepan masalah dengan pihak berkuasa Malaysia selepas dia mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu tempatan, serta dilihat mempersoalkan kedudukan masyarakat Cina, ketika bercakap dalam kuliah anjuran kerajaan Kelantan baru-baru ini.

Sementara itu, satu petisyen menyeru Naik dihantar pulang yang dilancarkan 3 bulan lepas berkata penceramah itu patut melawan tuduhan terhadapnya di mahkamah India.

“Selepas membuktikan dia tidak bersalah, kami akan mengalu-alukan dia kembali untuk meneruskan sumbangannya kepada dakwah pemahaman Islam” kata petisyen oleh Colin Nathan itu.