Kenapa tak guna BM untuk acara sukan negara, soal Abim

Setiausaha Agung Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mempersoalkan tindakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Kiong menukar nama “Hari Sukan Negara” (HSN) kepada “Malaysia Sports Challenge” (MySC’19).

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata adalah janggal dan ironi apabila kementerian itu menongkah arus ketika kerajaan mahu memartabatkan bahasa kebangsaan menerusi pelaksanaan mata pelajaran khat dan jawi yang menimbulkan pendebatan umum, baru-baru ini.

“Amat penting semua pihak lebih peka dan sensitif akan penggunaan bahasa Melayu khususnya dalam program rasmi membabitkan kerajaan.

“Jika program rasmi kerajaan sendiri tidak memartabatkan bahasa kebangsaan, bagaimana mungkin kita menerapkan kepentingan bahasa ini kepada agensi swasta serta masyarakat?” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Sim berkata beliau tidak melihat penggunaan “Malaysia Sports Challenge 2019″ merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Beliau berkata penggunaan nama dalam bahasa Inggeris mampu meningkatkan lagi prestij program berkenaan, bukan sahaja dalam kalangan penggiat sukan tempatan, malah turut melibatkan sektor sukan antarabangsa.

Pelaksanaan MySC’19 merupakan usaha penambahbaikan kepada HSN, yang akan berlangsung selama 31 hari sepanjang Oktober berbanding HSN yang dilaksanakan hanya satu hari pada minggu kedua Oktober.

Mengulas lanjut Faisal berkata pihaknya tidak menafikan kepentingan menguasai bahasa lain, tetapi menegaskan mentaliti penggunaan istilah bahasa Inggeris untuk program rasmi kerajaan supaya kelihatan “maju” atau “komersial” merupakan gejala pemikiran terpasung serta minda yang terjajah.

“Menjelang sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini, adalah penting untuk kita mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan.”

Beliau juga mengemukakan beberapa cadangan nama bagi program tersebut, antaranya “Cabaran Sukan Malaysia”, “Bulan Sukan Malaysia” dan “Bulan Sukan Negara”.