Kerajaan bukan tidak timbang rasa, tapi perlu kukuh kewangan negara, PM beritahu penjawat awam

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menolak persepsi sesetengah pihak kononnya pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak bertimbang rasa khususnya dalam membantu rakyat, termasuk dari segi pemberian subsidi.

Katanya, kerajaan PH bukan tidak bertimbang rasa sebaliknya terpaksa meletakkan pengukuhan kewangan negara sebagai keutamaan memandangkan hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu terlalu tinggi.

Katanya, kerajaan pimpinannya tidak boleh memberi kemewahan kepada rakyat seperti kerajaan sebelum ini kerana tindakan berkenaan boleh meningkatkan hutang dan menjejaskan negara.

“Sikap rakyat berubah. Mereka sekarang ini menjadi lebih bergantung kepada kerajaan, nak dapat duit minta daripada kerajaan dan kerajaan dulu memberi kerana mereka menyalahgunakan wang.

“Kerajaan hari ini tidak dapat memberi kerana kalau kita memberi, kita akan lihat hutang lebih banyak.

“Seolah-olah kita ini sebuah kerajaan tidak bertimbang rasa seperti kerajaan dahulu. Sebenarnya kita bertimbang rasa, tetapi kita juga perlu berusaha untuk keselamatan negara keseluruhannya, terutamanya keselamatan kewanganya.

“Kalau kita mengguna wang yang dipinjam atau pun dicuri untuk menunjuk bahawa kita bertimbang rasa, akhirnya kita akan hadapi masalah yang amat besar,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pegawai kerajaan di Perbadanan Putrajaya hari ini.

Mahathir berkata, tindakan kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Barisan Nasional yang sering menaikkan gaji pegawai kerajaan dengan tujuan menyogok mereka menjadi antara penyumbang kepada bertambahnya hutang negara.

Katanya, disebabkan perkara itu usaha untuk memulihkan negara terpaksa mengambil masa yang lama.

“Kerajaan dahulu sering naikkan gaji sehingga 25% tanpa ambil kira pendapatan negara banyak mana.

“Bukan dengan guna wang kerajaan untuk sogok pegawai sehingga negara kekurangan wang dan akhirnya hutang bertambah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mahathir berharap penjawat awam memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan bagi memastikan negara dapat ditadbir dengan baik.

“Pegawai merupakan jentera kerajaaan dan mereka perlu memberi kerjasama kepada kerajaan hari ini dengan dasar dan polisi yang diperkenalkan dalam usaha memulihkan negara,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar.