Kontroversi boleh dielak, kata orang yang memperkenalkan Zakir Naik di Malaysia

Zakir Naik pertama kali berucap di Malaysia pada 1997.

KUALA LUMPUR: Orang yang bertanggungjawab memperkenalkan rakyat Malaysia kepada pemuda bernama Dr Zakir Naik lebih 2 dekad lalu berkata pihak di sebalik penganjuran acara penceramah India itu baru-baru ini seharusnya lebih bersedia, memandangkan Naik terpalit dengan pelbagai kontroversi.

Iskandar Tan, seorang perunding warga Malaysia yang kini berpangkalan di Kuwait dan terlibat dengan beberapa pertubuhan amal, berkata persediaan itu termasuk memastikan Naik diberitahu apa yang boleh dan tidak boleh dituturkan dalam ceramahnya.

“Transkrip ucapan harus dikeluarkan agar sekiranya dia dipetik di luar konteks, penganjur boleh menangani isu-isu berbangkit dengan segera. Para penganjur juga harus sediakan suatu sistem perhubungan agar makluman boleh disampaikan kepada Naik jika perlu, atau melalui cara-cara visual lain di podium,” kata Iskandar, yang berpengalaman menganjurkan penceramah Islam terkemuka dari luar negara di Malaysia.

Naik, yang berdepan pertuduhan pengubahan wang di India, berdepan masalah dengan pihak berkuasa Malaysia selepas dia mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu tempatan, serta dilihat mempersoalkan kedudukan masyarakat Cina, ketika bercakap dalam kuliah anjuran kerajaan Kelantan baru-baru ini.

Sejak minggu lepas, Naik berulang alik di Bukit Aman untuk disiasat polis di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu berkait tuduhan sengaja mengaibkan dengan niat hendak mengganggu keamanan, berdasarkan lebih 100 laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Naik, yang mempunyai taraf pemastautin tetap Malaysia, berkata dia hanya menjawab pihak yang mahu dia diusir ke India. Awal minggu ini, Naik membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bukan Islam, sambil mendakwa ucapannya sering disalah petik.

Iskandar berkata kesilapan terbesar Naik adalah menyentuh isu-isu kaum dan politik.

Zakir Naik berucap di Kuala Lumpur pada 1998. Tidak seperti sekarang, kuliah Naik dulu sekadar pulang modal, kata bekas pengurus acaranya.

Naik berusia 32 tahun ketika pertama kali melawat Malaysia pada 1997, dalam siri jelajah anjuran syarikat pengurusan acara Iskandar yang berteraskan dakwah Islam.

Iskandar berkata beliau tidak berdepan sebarang reaksi marah terhadap kuliah Naik ketika itu.

Malah katanya, ketika itu program Naik sekadar cukup-cukup untuk kos penganjurannya, tidak seperti jumlah hadirin yang pergi mendengar Naik hari ini.

Namun, Iskandar berkata keuntungan bukan pendorong untuk membawa masuk pendakwah asing. Menurutnya, tujuan utamanya ialah mendedahkan masyarakat Islam tempatan kepada kepelbagaian idea Islam.

“Kebanyakan acara yang kami anjurkan selama ini, kami amat berpuas hati sekiranya dapat pulang modal. Syarikat komersial lain meraih untung daripada acara menampilkan Naik, tapi kami tidak,” kata Iskandar, mengatakan kumpulan-kumpulan Islam yang lebih besar kemudiannya menganjurkan siri jelajah Naik, termasuk agensi kerajaan ketika itu.

Mengimbau pertemuan pertama dengan Naik, Iskandar berkata beliau mula tertarik dengan kebolehan doktor muda itu berhujah dan berucap mengenai topik mengamalkan kehidupan Islam dalam dunia moden.

Naik ketika itu baru saja menubuhkan badan dakwahnya di Mumbai, Yayasan Penyelidikan Islam, yang terpaksa ditutup susulan penyiasatan ke atas kes pengubahan wang.

“Saya dapat tahu tentang Naik melalui pita-pita video dakwah,” kata Iskandar.

Beliau berkata Naik dibawa ke negara ini pada Oktober 1997.

“Saya ketika itu menganjurkan jelajah untuk penceramah lain, dan Naik merupakan penceramah ketiga pada tahun itu.”

Antara orang Islam terkenal yang diuruskan Iskandar di Malaysia termasuk bekas penyanyi rock Britain, Yusuf Islam (Cat Stevens) dan Imran Hossein, penceramah kelahiran Trinidad.

Di sebalik kontroversi melibatkan Naik ketika ini, Iskandar tidak menyesal memperkenalkan Malaysia kepada Naik. Menurutnya, niatnya jelas pada masa itu.

“Cuma, payah sikit nak memahami pelatnya,” kata lelaki berusia 61 tahun ini.