Lebih 1,000 wanita Saudi keluar melancong tanpa mahram

Sebelum ini, Arab Saudi mengenakan undang-undang ketat terhadap wanita di mana setiap keputusan hidup mereka ditentukan oleh ahli keluarga lelaki atau mahram. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Lebih 1,000 wanita Arab Saudi berusia 21 tahun ke atas keluar melancong tanpa ditemani mahram pada Isnin, lapor portal Al-Arabiya.

Duta Besar Arab Saudi ke Amerika Syarikat, Putri Reema Bandar menyifatkan perkembangan terbaru untuk wanita itu sebagai “sejarah sedang tercipta.”

“Saya gembira untuk mengesahkan Arab Saudi akan meminda undang-undang buruh dan sivil yang direka untuk meningkatkan status wanita Saudi dalam masyarakat kita, termasuk memberikan hak untuk memohon pasport dan melancong secara bebas,” petiknya sebagai berkata.

Awal bulan ini, Arab Saudi meluluskan undang-undang baru di mana kaum wanitanya yang berumur 21 ke atas dibenarkan memohon pasport dan melancong tanpa ditemani mahram.

Antara pindaan undang-undang lain adalah membenarkan wanita mendaftar perkahwinan, perceraian atau kelahiran anak dan mengeluarkan dokumen rasmi keluarga.

Ia juga menyatakan bapa atau ibu boleh menjadi penjaga yang sah terhadap anak mereka.

Sebelum ini Arab Saudi bersetuju mengeluarkan visa kepada pelancong wanita yang hendak mengunjung negara itu berseorangan, dengan syarat mereka perlu berusia 25 tahun ke atas.

Terdahulu, Arab Saudi mengenakan undang-undang ketat terhadap wanita, di mana wanita jemaah haji dan umrah juga perlu ditemani mahram sebelum visa diluluskan