Lelaki mengaku tidak bersalah tetak ketua polis Besut

Tertuduh Mohd Nasli Mohd Nasir didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan Ketua Polis Daerah Besut Mohd Zamri Mohd Rowi, minggu lepas.

Mohd Nasli Mohd Nasir, 33, didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara menetak menggunakan sebilah parang yang mengakibatkan kecederaan parah hingga terputus ibu jari kanan mangsa.

Dia yang bekerja sendiri, didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Cordoba Residence, Padang Luas, Jerteh, Besut, kira-kira 12.30 tengah hari, 15 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mohd Nasli kelihatan tenang ketika kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah kemudian memohon kepada mahkamah agar tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius yang menyebabkan kecacatan kekal kepada mangsa.

Selain itu ia juga atas faktor keselamatan memandangkan tertuduh adalah jiran mangsa.

“Saya difahamkan mangsa masih dirawat di hospital dan jarinya tidak dapat disambung,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Mohd Kamaruzaman A Wahab, yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah membenarkan permohonannya untuk menghantar Mohd Nasli ke hospital bagi pemeriksaan dan pengesahan tahap mental tertuduh.

Katanya, berdasarkan rekod perubatan pada 2012, anak guamnya pernah dirawat di Klinik Psikiatri dan Mental Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Azman kemudiannya memutuskan tiada sebarang keputusan akan dibuat olehnya sama ada berkaitan jaminan mahupun rujukan pengesahan psikiatri, memandangkan kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Besut.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Sept sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Besut.