Mufti Selangor dakwa Gojek tak Islamik

Perkhidmatan Gojek popular di Indonesia dan kini melebarkan sayapnya ke Vietnam dan Thailand. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Mufti Selangor Mohd Tamyes Abd Wahid mendakwa Gojek tidak Islamik, susulan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercadang memperkenalkan khidmat e-hailing motosikal itu di Malaysia.

Memetik laporan Sinar Harian, Tamyes dilaporkan berkata situasi di mana lelaki dan perempuan yang bukan muhrim membonceng motosikal boleh mengundang kepada fitnah.

“Tak sesuai, lelaki dan perempuan bukan muhrim membonceng motosikal yang sama. Mungkin penunggangnya lelaki dan pemboncengnya perempuan atau sebaliknya. Apa ke halnya kena ada situasi begitu?

“Keadaan itu jelas tidak Islamik dan tak sopan. Naik motosikal berdua bukan muhrim, tak diharuskan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menyerahkan keputusan pelaksanaan itu kepada pihak berkuasa.

“Terpulang kepada pihak berkuasa, saya tidak ada fatwa tentang perkara ini,” katanya.

Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dilaporkan berkata, cadangan memperkenalkan Gojek di Malaysia akan dibincangkan dalam Kabinet.

Ini susulan kenyataannya di Dewan Rakyat pada 31 Julai 2018 yang Putrajaya tidak berhasrat meluluskan perkhidmatan perkongsian motosikal di negara ini dalam masa terdekat demi melindungi keselamatan penunggang dan pembonceng kerana kadar tinggi kemalangan motosikal di seluruh negara selama ini.

Bagaimanapun, Pengasas Big Blue Taxi Services Shamsubahrin Ismail tidak bersetuju dengan cadangan itu dan memberi amaran akan menganjurkan tunjuk perasaan jika kelulusan diberikan.

“Kita nak ke orang perempuan kita, seru Gojek, peluk penunggang dari belakang?” soal Shamsubahrin.