NFCorp mahu fail tuntutan balas terhadap kerajaan berhubung saman RM253 juta

Pengarah NFCorp Mohamed Salleh Ismail (2 dari kiri) dan anak beliau Wan Shahinur Izmir (2 dari kanan) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2012. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFCorp) berkata, ia akan memfailkan satu tuntutan balas terhadap kerajaan berhubung samannya untuk mendapatkan semula hutang berjumlah RM253 juta.

Peguam kanan persekutuan Mohd Radhi Abas berkata, peguam syarikat, Chong Kah Yee memberitahu hakim Mahkamah Tinggi S NanthaBalan hari ini bahawa NFCorp berhasrat memasukkan satu tuntutan balas.

“Mereka juga mahu meminda kenyataan pembelaan yang difailkan pada 25 Julai. Mahkamah memberi sehingga 13 Sept untuk meminda kenyataan pembelaan dan memasukkan tuntutan balas mereka,” katanya.

Seorang lagi peguam kanan persekutuan Nurhaliza Azizan berkata, berdasarkan perkembangan itu, mahkamah akan melanjutkan pendengaran saman tersebut selama 3 hari.

“Tarikh perbicaraan tambahan adalah pada 12 hingga 14 Feb tahun depan. Kedua-dua kerajaan dan syarikat mempunyai masing-masing 7 saksi,” katanya.

Pengarah yang dinamakan dalam saman tersebut ialah Mohamad Salleh Ismail dan anak beliau, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah.

Kerajaan memohon perisytiharan mahkamah bahawa Salleh dan keluarga beliau adalah bertanggungjawab secara peribadi ke atas pembayaran balik hutang dengan RM118 daripadanya dilesapkan beserta apa-apa keuntungan dan pendapatan yang tidak diisytiharkan yang terhasil daripada penggunaannya, selain hak Putrajaya untuk menuntut hartanah yang dibeli dengan menggunakan pinjaman tersebut.

Kerajaan berkata, pada 6 Dis 2007, ia mengikat perjanjian dengan NFCorp untuk menyediakan pinjaman sebanyak RM250 juta untuk membina dan menjalankan sebuah pusat fidlot kebangsaan di Gemas, Negeri Sembilan.

Atas permintaan NFCorp, kerajaan berkata, pinjaman itu dibayar di bawah satu akaun pinjaman khas dalam 3 peringkat antara 9 Jan 2008 hingga 31 Mac 2009. Daripada pinjaman itu, kerajaan meluluskan pengeluaran sebanyak RM180.51 juta antara 24 Jan 2008 dan 3 Jan 2011.

Ia berkata, daripada jumlah RM180.51 juta, hanya RM8.32 juta dibayar kepada pihak ke-3 bagi membiayai projek fidlot, sementara baki RM172.2 juta dibayar kepada akaun operasi NFCorp di Malayan Banking Bhd.

Kerajaan juga mendakwa, RM9.76 juta daripada pinjaman tersebut disalah guna untuk membayar sebahagian daripada pembelian 2 unit kediaman di One Menerung Residence oleh National Meat & Livestock Corp, dan RM1.8 juta digunakan untuk membayar kepada Shamsubahrin Ismail untuk tujuan yang tidak dinyatakan.

Saman itu juga mendakwa Salleh menggunakan pinjaman tersebut untuk membeli 2 lot tanah di Putrajaya pada harga antara RM1.51 juta dan RM3.36 juta, dan jumlah tertentu digunakan untuk membayar pembelian satu rumah kedai 4 tingkat di Solaris Mont Kiara.