Polis nasihat jangan sertai demo Zakir Naik, khat

Pemangku Ketua Polis Brickfields, Arifai Tarawe. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis menasihatkan orang ramai tidak menyertai 2 tunjuk perasaan yang diadakan di Brickfields, Kuala Lumpur, kerana penganjur didapati tidak memenuhi keperluan Akta Perhimpunan Aman.

Pemangku Ketua Polis Brickfields, Arifai Tarawe berkata polis menerima notis memaklumkan hasrat mengadakan tunjuk perasaan “Say No to Zakir Naik, Equal Rights To Indians & Other Races” pada Sabtu dan “Bantah Tulisan Khat Untuk Sekolah Tamil” pada Jumaat.

“Bagaimanapun, notis yang dikemukakan didapati tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan undang-undang,” katanya.

Arifai berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak menyertai tunjuk perasaan itu bagi memastikan “keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat” terpelihara.

FMT belum dapat mengesahkan siapakah penganjur disebalik 2 tunjuk perasaan itu.