Selangor akur polis larang Zakir Naik beri ceramah, kata MB

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

SHAH ALAM: Selangor akur dengan arahan polis supaya penceramah kontroversi Dr Zakir Naik tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium, termasuk media sosial.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata isu Naik melibatkan keselamatan dan kerajaan negeri perlu mendapat nasihat daripada pihak berkuasa.

“(Isu larangan Naik) itu urusan polis. Biar polis buat keputusan dan kita ikut arahan polis.

“Jadi perkara tentang larangan dan sebagainya atas nasihat polis, sebab isu ia melibatkan keselamatan dan juga beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Avisena Women’s & Children’s Specialist Hospital.

Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata larangan Naik memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

Hamid berkata ceramah Naik di Kelantan menimbulkan keresahan dan kekeliruan pelbagai pihak, dan pihaknya meminta diberi masa untuk menyiasat perkara itu.

Menurut Hamid, arahan yang dikeluarkan bertujuan bagi mententeramkan keadaan dan hanya bersifat sementara.

Dalam perkembangan lain, Amirudin yang merupakan pengerusi PKR Selangor berkata beliau bersyukur tiada tindakan diambil oleh partinya.

“Alhamdulilah, syukur nikmat,” katanya.

Amirudin juga menafikan dakwaan Selangor memotong peruntukan rakyat di negeri itu.

Beliau berkata Selangor tidak memotong peruntukan tetapi hanya memberi kepada yang layak.

“Dulu kita tak ada kayu ukur, sekarang kita ada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bantuan Sara Hidup (BSH), dan e-Kasih Selangor. Jadi kita boleh periksa melalui itu untuk memastikan hanya yang layak sahaja dapat,” katanya.

Beliau juga berkata, beliau sedia memberi penerangan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim jika dipanggil.

Selasa lalu, Anwar berkata akan memanggil Amirudin berhubung pengurangan kemudahan dan bantuan untuk golongan berpendapatan rendah (B40).