Sumber: Exco Perak dijangka didakwa merogol esok

Paul Yong Choo Kiong. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Exco kerajaan negeri Perak Paul Yong Choo Kiong, yang disiasat berikutan dakwaan merogol oleh pembantu rumah warga Indonesia, dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh esok.

Sumber memberitahu FMT bahawa Yong, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh, dimaklumkan oleh polis pagi tadi berhubung pendakwaan itu.

“Satu pasukan peguam telah diwujudkan untuk mewakili Yong dan ini termasuk membuat permohonan ikat jamin,” kata sumber.

Polis menahan Yong, 49 pada 9 Julai berikutan laporan yang difailkan oleh pembantu rumah berusia 23 tahun itu berhubung dakwaan merogol yang dilakukan di sebuah rumah di Meru, dekat Ipoh.

Beliau kemudiannya dibebaskan atas jaminan polis.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Kesiksaan kerana merogol.

Sabit kesalahan di bawah seksyen ini boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan rotan.

Pada Isnin, ketua polis Perak Razarudin Hussain berkata, kertas penyiasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 16 Ogos untuk tindakan lanjut.

Pada 9 Ogos, Razarudin berkata, kertas siasatan dikembalikan kepada polis untuk kali ke-2 bagi membolehkan mereka menjalankan siasatan lanjut untuk memastikan keadilan kepada kedua-dua pihak terlibat.