Zakir Naik ke Bukit Aman untuk kali ke-3

KUALA LUMPUR: Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik sekali lagi berada di Bukit Aman, buat kali ke-3 sejak minggu lepas, berhubung laporan polisnya terhadap Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Laporan tersebut, yang dibuat pada 19 Ogos, mendakwa Kula memfitnahnya dan mahu menteri itu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

Naik tiba di Bukit Aman bersama peguam, Akhberdin Abdul Kader pada 3.40 petang tadi, disambut kira-kira 30 petugas media.

Naik pada 16 Ogos menghantar notis tuntutan kepada Kula, mendakwa menteri itu memfitnahnya dalam kenyataan akhbar 3 tahun lalu, dan akan menyamannya jika tidak memohon maaf dan menawarkan pampasan atas ganti rugi, malu dan penghinaan yang dialaminya akibat kenyataan itu.

Menurut beliau, kenyataan yang didakwa memfitnah itu dibuat dalam kenyataan media bertajuk “Zakir Naik’s presence in Malaysia is embarrassing to all Malaysians” (Keberadaan Zakir Naik di Malaysia memalukan semua rakyat) dan disiarkan beberapa media.

Tuntutan itu berkata kenyataan itu antara lain membayangkan Naik seorang yang tidak jujur yang akan menyalahgunakan agama Islam untuk kepentingan diri.

Kula menegaskan dia tidak akan menarik balik kenyataan itu ataupun memohon maaf, dan bersedia berdepan Naik di mahkamah.