112 anggota polis termasuk superitenden terlibat dadah

Sebelum ini, KPN Abdul Hamid Bador menyifatkan lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah sebagai kritikal dan serius.

NILAI: Seramai 112 anggota polis termasuk seorang daripadanya berpangkat superitenden dikesan positif dadah menerusi “Op Blue Devil” yang dijalankan di setiap kontinjen sejak 13 Ogos lepas.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd berkata, operasi berkenaan dijalankan secara menyeluruh dan akan diteruskan secara harian.

“Kita tak malu (anggota terlibat dengan dadah) dan kita kena berdepan dengan kenyataan. Pembersihan dalaman akan diteruskan setiap hari sehingga pegawai dan anggota sedar siapa yang mengambil dadah, PDRM bukanlah tempat untuk mereka.

“Op Blue Devil bukanlah latihan tetapi bagaimana seorang anggota polis yang menguatkuasakan undang-undang boleh terlibat dengan dadah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kastam, Paddy Abd Halim mengenai rampasan dadah terbesar bernilai RM676 juta di JDKM Cawangan Narkotik, Jijan.

Rabu lepas, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dipetik sebagai berkata, lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah menerusi “Op Blue Devil” dan menyifatkan ia berada pada tahap kritikal dan serius.