Exco Perak mengaku tak bersalah atas dakwaan rogol amah

Paul Yong hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini untuk menghadapi pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada awal bulan lalu. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan merogol seorang pembantu rumahnya bulan lalu.

Adun Tronoh itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Norashima Khalid.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 malam hingga 9.15 malam 7 Julai lalu, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman, manakala Yong diwakili peguam Farhan Sapian, Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keng, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh serta Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Azhar yang juga pengarah pendakwaan Jabatan Peguam Perak memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana bimbang beliau akan mengganggu saksi.

Ramkarpal bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin kerana mangsa kini ditempatkan di lokasi selamat dan Yong mempunyai 4 anak yang masih bersekolah serta memberi kerjasama penuh kepada polis dan hadir di mahkamah.

Hakim membenarkan Yong diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September ini untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Yong yang berkemeja putih dan sut kelabu tiba di mahkamah pada 8.57 pagi tadi dengan kereta BMW.

Polis memperketatkan kawalan di sekitar mahkamah bagi mengelak kejadian tidak diingini kerana sekumpulan penyokong Yong dilihat berkumpul di depan pintu masuk mahkamah sejak 8.30 pagi tadi.

Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Ngeh Koo Ham membuat laporan polis mendakwa seorang lelaki yang dipercayai menerima RM100,000 untuk membawa pembantu rumah Indonesia Yong membuat laporan terhadap majikannya.

Beliau percaya ada muslihat di sebalik kes itu kerana mendakwa lelaki terbabit diugut dengan pistol supaya tidak membongkarkan rahsia berkenaan.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Yong di rumahnya di Meru, Ipoh.