Gadis rugi lebih RM1,500 selepas wang simpanan dimakan anai-anai

Bungkusan beg plastik yang mengandungi simpanan wang tunai milik Putri Buddin dimakan anai-anai. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Penduduk Jakarta kerugian 5.4 juta rupiah (RM1,589) apabila wang tunai yang disimpannya dalam almari dimakan anai-anai, lapor The Jakarta Post.

Putri Buddin, 23, dilaporkan menyimpan wang tersebut di dalam almari tahun lepas untuk diberikan kepada neneknya yang baru sahaja meninggal dunia.

“Saya beri kepada nenek kira-kira 3 juta rupiah secara tunai. Dia kata dia tidak mahu menggunakannya, jadi saya memasukkannya ke dalam almari. Saya beritahu dia jika dia memerlukan wang itu, dia boleh mengambilnya.

“Daripada menggunakannya, (nenek) terus menyimpan lebih banyak wang hingga ia mencecah kira-kira 10 juta rupiah,” katanya.

Selepas neneknya meninggal dunia, Putri berkata dia memeriksa wang tersebut dan mendapati terdapat 2 bungkusan wang.

“Satu bungkusan di dalam beg kertas dan satu lagi dalam beg plastik. Saya campak beg kertas itu kerana ia menjadi sarang anai-anai,” katanya.

Dia kemudian mengunjungi Bank Indonesia dan bertanya sama ada wang yang rosak itu boleh digantikan dengan yang baru. Bagaimanapun, selepas penilaian, ternyata tidak semua wang itu boleh diganti.

Daripada 5.4 juta rupiah, hanya 1.05 juta rupiah (RM309) boleh diganti dengan wang baru.