Beri Nur Fitri peluang, kata profesor UKM

Nur Fitri Azmeer Nordin menyertai UKM tahun lalu bagi melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana dan kini menyambung kursus PhD. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membela Nur Fitri Azmeer Nordin yang dipenjarakan di UK kerana memiliki bahan pornografi kanak-kanak, mengatakan genius matematik itu berhak mendapat peluang kedua.

Mengulas isu itu dengan syarat namanya tidak disiarkan, pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Matematik itu berkata beliau tidak pernah mendengar aduan atau insiden melibatkan Nur Fitri dan pelajar lain.

Profesor itu berkata Nur Fitri yang menyertai UKM tahun lepas bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan dengan cepat ditawarkan mengikuti kursus PhD, juga menjadi tutor bagi pelajar lain.

“Dia pelajar cemerlang. Dia menamatkan pengajian sarjananya dalam tempoh setahun dan kerana grednya yang bagus, senat universiti meluluskan pemindahannya ke kursus PhD.

“Saya boleh katakan dia dalam 5% genius matematik.”

Nur Fitri dijatuhi hukuman penjara 5 tahun pada 2015 selepas dia mengaku bersalah di mahkamah London kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak.

Polis British kemudian berkata fail yang disimpannya adalah “sangat ekstrem” yang mereka pernah jumpai.

Dia dihantar pulang ke Malaysia selepas menjalani hukuman penjara yang dikurangkan dari 18 bulan ke 9 bulan.

Ketika Nur Fitri, 27, yang berasal dari Perak mendaftarkan diri di UKM tahun lalu, profesor itu memberitahunya bahawa beliau tahu kes tersebut.

“Saya cuba tidak menghakiminya, jadi saya tidak bertanya sama ada dia menyesali tindakannya. Saya hanya beritahu dia bahawa saya tahu tentang sejarahnya dan kami mahu dia mendapat peluang kedua.

“Saya juga memberitahunya, selagi dia tidak mengulangi tindakan itu di UKM, maka dia akan dilayan seperti mana-mana pelajar lain,” kata profesor itu sambil menambah tiada “layanan istimewa” buat Nur Fitri.

Nur Fitri menghadiri kuliah bersama pelajar lain, kata profesor itu.

Beliau berharap orang ramai menamatkan perdebatan mengenai kes Nur Fitri dan sama ada dia harus dibenarkan belajar atau bergaul dengan masyarakat.

Nur Fitri menerima biasiswa Mara untuk belajar di Imperial College London pada 2012. Beliau mewakili Malaysia dalam Olimpik Matematik Antarabangsa pada 2011. Bagaimanapun, pinjamannya ditarik balik berikutan kesalahan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu, Noor Rashid Ibrahim berkata, Nur Fitri akan menjadi “individu bebas” di Malaysia selepas menjalani hukumannya di UK dan tidak akan dipantau apabila kembali.