GPS timbang permohonan ahli bekas timbalan presiden PSB

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. berkata, permohonan Susil masih ‘dipertimbangkan’ oleh pemimpin GPS.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mendedahkan Menteri Muda Pengangkutan Jerip Susil memohon untuk menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun katanya, permohonan Susil masih “dipertimbangkan” oleh pemimpin GPS.

“Saya akan beritahu (jika Susil diterima menjadi ahli GPS),” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau juga enggan mendedahkan parti komponen GPS mana yang mahu disertai Susil.

Pada Julai, Susil yang merupakan bekas timbalan presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) keluar parti berkuatkuasa serta merta.

Jerip Susil.

Dilaporkan beliau menjadi ahli bebas sejak itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Mambong itu berkata, beliau percaya hanya GPS di bawah kepimpinan Abang Johari mempunyai wawasan, komitmen dan program untuk membawa pembangunan dan kemajuan ke kawasan luar bandar di negeri itu

Susil dilantik sebagai menteri muda pengangkutan berikutan rombakan Kabinet negeri yang diumumkan semalam.