Kenapa masih tiada tindakan ke atas Zakir Naik, Ramasamy persoal Dr M

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

PETALING JAYA: Pemimpin DAP P Ramasamy mempersoal perdana menteri kerana tidak mengambil tindakan ke atas Dr Zakir Naik, sehari selepas penceramah kontroversi itu membuat laporan polis ke-2 terhadap beliau kerana memfitnah.

Ramasamy, yang merupakan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berkata, ketiadaan tindakan segera terhadap Naik di pihak perdana menteri memberi gambaran penceramah warga India tu menikmati kekebalan di negara ini.

Baru-baru ini Naik diselubungi kontroversi berhubung kenyataan beliau mengenai masyarakat Cina dan India Malaysia.

“Dengan pendekatan dakwahnya yang kombatif, Naik telah menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam, terutamanya orag Cina dan penganut agama Hindu,” katanya.

“Malaysia mempunyai pelbagai perbezaan yang kadang kala kelihatan saling bercanggah antara satu sama lain, tetapi dalam tempoh selepas kemerdekaan, golongan ekstremis sekali pun tidak mempersoalkan kesetiaan orang India apatah lagi menuduh mereka bersikap pro India.

“Begitu juga, golongan ekstremis tidak pernah mempersoalkan kesetiaan orang Cina, atau bertindak menggesa mereka meninggalkan negara ini kerana dianggap sebagai ‘tetamu’.”

Ramasamy merujuk kepada kenyataan Naik dalam satu siri ceramah di Kelantan baru-baru ini.

Naik dilaporkan berkata, dalam isu ekstradisinya ke India, masyarakat Hindu di Malaysia menikmati “100 kali lebih banyak hak” berbanding orang Islam di India, tetapi lebih menyokong perdana menteri negara itu berbanding perdana menteri Malaysia.

Beliau juga dilaporkan berkata, sekiranya kedudukannya sebagai “tetamu” di negara ini kerana tidak dilahirkan di sini dijadikan sebab beliau perlu dihantar pulang ke India, maka orang Cina sebelum ini yang tidak dilahirkan di sini juga adalah “tetamu lama” yang perlu dihantar pulang sebelum beliau.

Kenyataan tersebut mencetuskan kritikan keras daripada sesetengah pihak, termasuk Ramasamy, ahli Parlimen Klang Charles Santiago; ahli Dewan Undangan Negeri DAP Satees Muniandy; Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan bekas duta, Dennis Ignatius.

Naik kemudiannya membuat laporan polis terhadap 5 individu tersebut, yang mempertahankan kritikan mereka terhadap beliau.

Semalam Naik membuat laporan polis ke-2 terhadap Ramasamy, dengan menuduhnya membuat kenyataan mengapi-apikan dalam temu bual dengan agensi berita India, India Today.

Putrajaya sehingga kini menolak pemohonan India untuk mengekstradisi Naik yang berdepan pertuduhan pengubahan wang di negara tersebut.

Dalam kenyataannya, Ramasamy berkata, keputusan Mahathir tidak mengambil langkah segera ke atas Naik adalah mengecewakan, selain menambah bahawa perdana menteri itu menjanjikan sebuah Malaysia baru untuk semua tanpa mengira kaum dan agama.

Bagaimanapun katanya, kenyataan bahawa Putrajaya tidak akan menghantar pulang Naik pada masa ini bermakna perdana menteri tidak mengetepikan terus tindakan ke atas penceramah itu.

“Mahathir mungkin fikir tindakan menahan dan menghantar pulang Naik tidak akan disenangi oleh kumpulan tertentu orang Islam, terutamanya penyokong Umno dan PAS.

“Tetapi Mahathir harus ingat bahawa beliau adalah perdana menteri semua rakyat Malaysia, bukan sahaja orang Melayu atau bukan-Melayu.

“Saya bersetuju dengan beliau bahawa siasatan polis perlu dijalankan sebelum tindakan diambil ke atas naik. Akan tetapi berapa lama kita perlu tunggu?”