Khat: MCA Sabah persoal kenyataan bercanggah pemimpin negeri

Ketua Wanita MCA Sabah Dr Pamela Yong.

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin MCA Sabah mempersoalkan percanggahan kenyataan pemimpin negeri ini berhubung isu pendidikan, terutamanya pengenalan tulisan khat di sekolah vernakular.

Bercakap kepada FMT di sini hari ini, ketua Wanita MCA Sabah, Dr Pamela Yong berkata, beliau keliru selepas Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi negeri, Jenifer Lasimbang berkata Sabah akan mengikuti Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Sebelum ini pemimpin DAP menuntut supaya isu berkaitan Sabah dikendalikan orang rakyat Sabah. Tujuh wakil rakyat DAP dan seorang ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik menandatangani kenyataan itu.

“Selepas itu, pengerusi PKR Sabah, yang juga merupakan timbalan ketua menteri, Christina Liew berkata, mereka tidak bersetuju khat diwajibkan.

“Jadi yang mana satu? Mereka mahu Sabah buat keputusan atau hanya mengikut? Saya dapati parti nasional seperti DAP dan PKR menyahut cabaran untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah, sedangkan Warisan, walaupun mendakwa mereka merupakan pembela Sabah, tidak bersuara,” katanya.

Beliau berkata, timbalan presiden Warisan, Darell Leiking pernah menyebut bahawa Sabah mungkin akan meminta untuk melaksanakan silibus berasingan yang menjadi haknya.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian, Lasimbang yang juga mewakili Warisan muncul dan berkata Sabah akan mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Justeru menurut Pamela, slogan Sabah untuk rakyat Sabah yang diwarwarkan oleh pemimpin Warisan hanyalah kata-kata penarik yang terbukti kosong dan dangkal seperti dijangka.

Selain itu Pamela berkata, cadangan Lasimbang supaya dasar baru itu dilihat sebagai peluang untuk mempelajari satu bahasa baru juga sangat mengelirukan.

“Sebagai ibu 4 orang anak yang belajar di sekolah vernakular, anak saya belajar Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan di rumah, jika mereka berkesempatan, dialek Hakka yang umumnya digunakan oleh keluarga saya.

“Jika mereka perlu belajar satu bahasa baru, saya lebih suka mereka belajar bahasa penduduk pribumi kita seperti bahasa Dusun atau Kadazan yang merupakan kebanggaan masyarakat Sabah yang pelbagai keturunan.

“Kita tidak perlu emosional. Ini isu praktikal dan bersikap pragmatik. Mudah sahaja,” katanya.