Kita akan kaji laporan PBB, Dr M jawab isu kemiskinan

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan mengkaji laporan pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai pembasmian kemiskinan di negara ini, susulan teguran daripada pelapor khas badan itu hari ini.

“Kita akan kaji apa yang mereka katakan untuk lihat sama ada ianya betul atau tidak,” katanya kepada pemberita di satu majlis makan malam hari ini.

Terdahulu, Pelapor Khas PBB, Philip Alston berkata garis kemiskinan rasmi tidak menggambarkan kos hidup di Malaysia dan mengecualikan penduduk-penduduk yang mudah terjejas dalam angka-angka rasminya.

Garis kemiskinan kebangsaan ditetapkan pada RM980 setiap isi rumah sebulan, bermakna satu keluarga 4 orang hidup dengan hanya RM8 seorang setiap hari.

Alston mengatakan paras itu terlalu rendah, kerana kadar kemiskinan sebenar di Malaysia lebih tinggi daripada angka-angka rasmi kerajaan.

Ditanya sama ada kerajaan bersedia untuk mengkaji semula garis kemiskinan kebangsaan, Mahathir menjawab, “tengok nanti” sebelum beredar.

Alston selepas lawatan 11 hari ke negara ini berkata Malaysia mencapai pertumbuhan yang mengagumkan dalam mengurangkan kemiskinan dalam tempoh 50 tahun lalu, namun dakwaan rasmi bahawa kemiskinan sudah dibasmi atau dalam jumlah kecil di kawasan luar bandar adalah tidak betul.