KPI saya 93%, kata menteri dalam isu tukar portfolio

Mohamaddin Ketapi (2 dari kiri) bersama Timbalan Ketua Setiausaha kementeriannya, Haslina Abdul Hamid (dari kiri), Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Musa Yusof dan Pengerusi Tourism Malaysia, Ahmad Shah Hussein Tambakau bergambar bersama pada sidang media hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi hari ini menolak gesaan untuk digugurkan daripada Kabinet, ketika isu pertukaran portfolio hangat dibincangkan.

Pemimpin Warisan itu berkata, beliau mendapat 93% dalam Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sebagai menteri pada tahun lalu.

Beliau turut membidas Presiden Gerakan, Dominic Lau yang menggesa beliau digugurkan daripada Kabinet.

“Gerakan boleh gugurkan saya jika mereka mahu. Gerakan boleh kata apa saja mereka mahu.”

Tetapi, Mohamaddin berkata, beliau sedia menghadapi sebarang kemungkinan selepas perdana menteri semalam mengesahkan akan ada sedikit pertukaran portfolio Kabinet.

“Kita ini tertakluk kepada sebarang kemungkinan. Menteri tak boleh cakap kementeriaan itu dia punya,” kata Mohamaddin hari ini.

Terdahulu, The Borneo Post melaporkan Mohamaddin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun akan digantikan.

Tetapi, Dr Mahathir Mohamad semalam dilaporkan berkata, tiada menteri baru akan digugurkan, sebaliknya hanya beberapa perubahan portfolio.

Katanya, ia masih di peringkat cadangan dan beliau belum membuat keputusan muktamad lagi.