Mahkamah diberitahu Najib hadiahkan barang kemas RM3.3 juta kepada pemimpin Qatar

Pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain ialah saksi pendakwaan ke-57 dalam perbicaraan rasuah dan pecah amanah Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat dalam perbicaraan rasuah dan pecah amanah Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini mengenai sepucuk surat yang didakwa daripada ahli keluarga seorang bekas menteri Qatar tidak pernah dibangkitkan dalam siasatan kes itu.

Rosli Hussain dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata demikian ketika disoal peguam Najib, Farhan Read, berhubung satu pembelian barang kemas dari butik barang kemas mewah Switzerland, de Grisogono di Itali 5 tahun lalu.

Farhan turut menunjukkan sepucuk “surat penghargaan” daripada Noor Abdulaziz Abdulla Turki Al-Subaie kepada Rosmah Mansor bertarikh 15 Ogos 2014 kepada Rosli.

“Saya tidak pernah nampak surat itu dan ia tidak pernah dibangkitkan Rosmah ketika keterangannya diambil,” katanya merujuk isteri Najib.

Rosli turut memberitahu mahkamah, Najib ketika memberi keterangannya mendakwa barang kemas itu dibeli untuk dihadiahkan kepada seorang pemimpin asing.

“Itulah yang didakwanya.”

Saksi pendakwaan ke-57 itu berkata, rekod kad kredit AmBank Najib menunjukkan beliau membelanjakan RM3.3 juta di de Grisogono, Itali pada 8 Ogos 2014.

Sebelum ini, Najib melalui Facebooknya berkata, kad kreditnya digunakan untuk membeli hadiah bagi seorang kerabat diraja dan ia adalah norma untuk memberi hadiah kepada orang kenamaan asing.

Pada 26 Julai lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas memfailkan permohonan untuk menuntut Najib meminta maaf kerana memuat naik komen sub judice.

Permohonan itu kemudiannya ditarik balik.

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, ke akaunnya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.