Pakar PBB persoal dakwaan Putrajaya mengenai basmi kemiskinan

Pelapor Khas PBB, Philip Alston berkata dakwaan kemiskinan sudah dibasmi atau dalam jumlah kecil di kawasan luar bandar adalah tidak betul. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mempersoalkan dakwaan Putrajaya mengenai pembasmian kemiskinan, kerana kerajaan menggunakan garis kemiskinan yang rendah dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Pelapor Khas PBB, Philip Alston berkata garis kemiskinan rasmi tidak menggambarkan kos hidup di Malaysia dan mengecualikan penduduk-penduduk yang mudah terjejas dalam angka-angka rasminya.

“Walaupun Malaysia mencapai pertumbuhan mengagumkan dalam mengurangkan kemiskinan dalam tempoh 50 tahun yang lalu, dakwaan rasmi bahawa kemiskinan sudah dibasmi atau dalam jumlah kecil di kawasan luar bandar adalah tidak betul dan telah melumpuhkan pembuatan dasar,” katanya dalam kenyataan hari ini, selepas lawatan 11 hari ke negara ini.

Garis kemiskinan kebangsaan ditetapkan pada RM980 setiap isi rumah sebulan, bermakna satu keluarga 4 orang hidup dengan hanya RM8 seorang setiap hari.

Alston mengatakan paras itu terlalu rendah, kerana kadar kemiskinan sebenar di Malaysia lebih tinggi daripada angka-angka rasmi kerajaan.

Beliau pernah bertemu keluarga-keluarga yang tidak mampu membayar sewa, atau tidak menghantar anak-anak ke sekolah, dan tidak mendapatkan rawatan kesihatan kerana tidak mampu menanggung pengangkutan.

“Walaupun rawatan kesihatan hampir universal dan kadar pendaftaran sekolah menengah yang tinggi, dan ekonomi yang semakin meningkat, sebahagian besar penduduk tercicir dan ramai orang yang hidup atas garis kemiskinan rasmi sebenarnya miskin,” tambahnya.

Alston berkata ramai pribumi mengalami kemiskinan, dan orang bukan warganegara seperti pelarian, pendatang asing dan orang tanpa kerakyatan dikecualikan daripada statistik rasmi.

Orang miskin di Malaysia juga cenderung mengalami pencabulan hak-hak sivil dan politik, seperti di penjara dan sistem perundangan, katanya.

Beliau menyeru Putrajaya mengkaji semula mekanisme mengukur kemiskinan bagi memperakui dan menangani kepayahan hidup ramai rakyat.

“Malaysia membuat kemajuan yang nyata dalam pelbagai komitmen yang progresif, tetapi kerajaan baru tidak boleh menafikan kewujudan golongan miskin dan terpinggir.

“Sebaliknya, mereka perlu tingkatkan usaha untuk memenuhi hak mereka.

“Orang Malaysia yang saya temui yang bergelut untuk meneruskan hidup atau membantu orang lain yang memerlukan patut diperlakukan dengan lebih baik daripada diberitahu penggubal dasar bahawa kemiskinan tidak wujud, bertentangan dengan pengalaman mereka,” katanya.

Alston ke Kuala Lumpur, Selangor, Sabah, Sarawak dan Kelantan, dan bertemu para pegawai kerajaan, agensi-agensi antarabangsa, persatuan-persatuan sivil, ahli-ahli akademi dan orang-orang yang terjejas dengan kemiskinan di kawasan bandar dan luar bandar.

Beliau akan membentangkan laporan penuh bersama syor-sor kepada Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland pada Jun tahun depan.