PBB bimbang kebakaran hutan Amazon

Kebakaran hutan hujan Amazon di Brazil dilaporkan sudah merebak ke sempadan Peru, Paraguay dan Bolivia. (Gambar Twitter)

BRASILIA: Kebakaran hutan hujan Amazon yang terburuk setakat ini bukan saja mencetuskan krisis di Brazil tetapi menyebabkan kebimbangan antarabangsa, lapor agensi berita Xinhua.

“Kami amat bimbang berhubung kebakaran ini,” kata jurucakap kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Khamis berhubung kebakaran hutan terburuk di rantau Amerika Latin itu yang memusnahkan banyak kawasan Amazon.

Beliau berkata, hutan amat penting untuk kesihatan seluruh dunia dan usaha mengekalkan hutan amat penting adalah memerangi peningkatan cuaca.

Awal bulan ini, Brazil mengistiharkan darurat berikutan peningkatan jumlah kejadian kebakaran hutan di rantau berkenaan.

Kebakaran hutan di Brazil meningkat sebanyak 82% sejak Januari hingga Ogos 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Institut Penyelidikan Angkasa Lepas Brazil (INPE) pada Isnin.

Menurut institut itu, sebanyak 71,497 kejadian kebakaran hutan direkodkan di negara itu bagi 8 bulan pertama 2019, berbanding hanya 39,194 kes pada 2018.

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro pada Rabu menyalahkan badan bukan kerajaan (NGO) berikutan peningkatan kejadian kebakaran di utara negara itu, tetapi tuduhannya itu disangkal pencinta alam sekitar.

NGO terbabit mendakwa peningkatan ketara kes kebakaran itu berpunca daripada dasar anti pencinta alam kerajaan yang menyaksikan pertambahan projek pembalakan dan pembakaran terbuka.

Kenyataan NGO itu disokong penyelidik INPE, Alberto Setzer, ketika ditemu ramah media G1 tempatan apabila menegaskan, semua kebakaran itu berpunca daripada aktiviti manusia, sesetengahnya akibat kecuaian dan ada kes disengajakan.

Sambil menyifatkan kebakaran berkenaan sebagai kecemasan antarabangsa, Presiden Perancis Emmanuel Macron menerusi media sosial Twitter pada Khamis, menyuarakan kebimbangan berikutan kebakaran yang tidak terkawal serta menggesa perkara itu dibincangkan dalam sidang puncak Kumpulan 7 (G7).

Berikutan peningkatan kebimbangan antarabangsa, Presiden Bolsanaro pada Khamis mengakui petani mungkin menyebabkan kebakaran itu tetapi mendesak kuasa Barat supaya tidak campur tangan.

Kebakaran berkenaan kita dilaporkan sudah merebak ke sempadan Peru, Paraguay dan Bolivia. Pada Khamis, Kerajaan Chile menawarkan bantuan kepada Brazil untuk memadam kebakaran di Amazon yang sudah berlarutan sejak dua minggu lalu.