Penarafan kredit terus kukuh walaupun hutang kerajaan bertambah, kata Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, agensi penarafan asing tidak menurunkan penarafan kredit A3 Malaysia walaupun Putrajaya mendedahkan keseluruhan liabiliti fiskal dan hutangnya.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menjawab kebimbangan berhubung pinjaman kerajaan sebanyak RM58.1 bilion dalam tempoh 6 bulan tahun ini dengan berkata, agensi penarafan antarabangsa dan pelabur asing terus yakin pada Malaysia.

Lim berkata, agensi terbabit tidak menurunkan penarafan kredit A3 Malaysia walaupun Putrajaya mendedahkan keseluruhan liabiliti fiskal dan hutangnya.

“Kita terbuka dan telus. Oleh sebab itu kita dedahkan keseluruhan hutang kita. Bukan sahaja hutang, tetapi juga liabiliti kontigen dan jaminan kerajaan.

“Bagaimanapun, keseluruhan komitmen kita, yang bukan sahaja meliputi hutang langsung, tetapi juga jaminan kerajaan dan liabiliti kontigen berjaya dikurangkan daripada 80% kepada 75% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” kata Lim selepas melancarkan kedai “Destination Good” Yayasan AirAsia di RexKL di sini, hari ini.

Turut hadir CEO kumpulan AirAsia Tony Fernandes, pengerusi eksekutif Kamarudin Meranun dan pengarah eksekutif Yap Mun Ching.

Seorang pakar ekonomi baru-baru ini menggesa Putrajaya supaya mengurangkan perbelanjaan dengan memetik angka Bank Negara Malaysia (BNM) yang menunjukkan kerajaan meminjam sebanyak RM58.1 dalam tempoh 6 bulan tahun ini.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, angka tersebut menunjukkan hutang kerajaan persekutuan meningkat daripada RM686.8 bilion pada akhir 2017 kepada RM799.1 bilion sekarang.

Lim berkata, komitmen perbelanjaan pembangunan kerajaan lepas juga menjadi sebab hutang bertambah.

Katanya, Putrajaya akan meneruskan projek infrastruktur tersebut kerana ia membawa manfaat kepada negara dalam jangka panjang.

Beliau berkata, kerajaan juga masih membayar hutang berkaitan 1MDB.

“Anda perlu sedar kerajaan sebelum ini menyembunyikan fakta bahawa mereka tidak membayar hutang pinjaman 1MDB secara aktif.

“Hanya selepas kerajaan baru mengambil alih pentadbiran, kerajaan meneruskan pembayaran hutang 1MDB,” katanya.

Lim berkata, pencapaian ekonomi negara mengatasi jangkaan pasaran dengan pelabur asing terus menunjukkan minat kepada negara ini.

Berhubung kajian semula pengenalan levi pelepasan, Lim berkata, Kabinet telah membuat keputusan, walaupun belum membuat pengumuman.

“Kabinet telah buat keputusan dan diputuskan bahawa pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya.