Perbicaraan 1MDB akan bermula Rabu depan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan 1MDB yang ditunggu-tunggu membabitkan Najib Razak atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang akan bermula Rabu ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas pendakwa raya dan peguam Najib memaklumkan perkembangan kes SRC International Sdn Bhd yang sedang berlangsung di mahkamah lain.

“Perbicaraan akan bermula 9.30 pagi Rabu depan dengan pihak pendakwaan mengemukakan pernyataan pembukaan dan memanggil saksi rasmi.”

Beliau turut menolak permohonan dikemukakan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah untuk memulakan kes itu 3 September nanti.

Peguam itu meminta lebih banyak masa kerana pihak pendakwaan baru menyerahkan 2 lagi dokumen panjang lebar pada petang semalam.

“Saya mahu anda memperbaharui permohonan kami untuk kes 1MDB bermula 3 September,” katanya sambil menambah penetapan tarikh lebih awal akan menjejaskan persediaan pihak pembelaan.

Beliau berkata, pihak pembelaan perlu menyediakan penghujahannya selepas pihak pendakwaan menutup kesnya dalam perbicaraan SRC International.

“Kami menggesa anda menggunakan budi bicara dan bersimpati dengan kami supaya kami boleh menyediakan kes 1MDB kami.”

Peguam, V Sithambaram yang timbalan pendakwa raya ad hoc dalam kes SRC International, berkata pihak pendakwaan dijangka menutup kesnya Selasa depan.

“Kami sepatutnya boleh menyelesaikan kes itu menjelang tengah hari Selasa.”

Peguam, Gopal Sri Ram yang juga timbalan pendakwa raya ad hoc dalam kes 1MDB, berkata 6 saksi rasmi dan separa rasmi akan dipanggil.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa pada September 2018 atas dakwaan memasukkan RM2.28 bilion dana 1MDB ke akaun AmBank beliau antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Jika tiada keadaan tidak diduga berlaku, perbicaraan akan berlangsung sehingga 14 November ini dengan kira-kira 60 saksi pendakwaan akan memberi keterangan.

Najib turut berdepan 3 pertuduhan lain dan tarikh pendengaran akan bermula 13 Januari sehingga Jun 2020.