Polis tahan lelaki Myanmar buat i-kad, kad UNHCR palsu

Menurut polis i-kad dan kad UNHCR palsu diproses oleh seorang warga Myanmar sebelum menjualnya kepada warga asing di sekitar Pulau Pinang dengan harga RM30 setiap satu. (Gambar PDRM)

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki Myanmar kerana memproses dan menjual i-kad serta kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) palsu, kepada warga asing, terutama rakan senegaranya, dalam serbuan di Taman Sri Rambai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan dalam serbuan pukul 1.30 tengah hari, hasil risikan dan intipan dijalankan polis sejak seminggu lepas.

“Pemeriksaan polis dalam rumah sewa lelaki itu, menemui 5 keping kad UNHCR atas pelbagai nama yang disyaki palsu, 4 keping i-kad, 3 keping passport Myanmar dan 5 keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” katanya di sini, semalam.

Katanya, polis turut merampas peralatan seperti pencetak, kertas dan alat laminate dipercayai digunakan untuk memproses serta mencetak i-kad kad dan UNHCR palsu.

Beliau berkata, kad itu diproses oleh lelaki itu sebelum menjualnya kepada warga asing di sekitar negeri ini dengan harga RM30 setiap satu.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan menjalankan kegiatan tersebut sejak 2 bulan lepas.

Menurutnya, polis menghantar kad itu untuk membuat semakan pengesahan status dengan UNHCR dan Jabatan Imigresen bagi kad i-kad.

“Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk mengenal pasti warga asing yang membeli kad palsu berkenaan dan berapa banyak kad palsu dicetak lelaki tersebut sejak 2 bulan lepas,” katanya.

Katanya, lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.