Terjun apartmen: Polis ambil keterangan bila mangsa pulih

Siasatan awal polis mendapati 3 sekeluarga itu dipercayai jatuh dari tingkat 10 apartmen Laman Damai, Kepong, dan tiada saksi yang melihat kejadian.

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan daripada wanita yang terjun dari apartmen Laman Damai di Taman Kepong pada Isnin lepas bersama-sama 2 orang anaknya apabila keadaannya stabil.

Ketua Polis Daerah Sentul S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, setakat ini polis merakamkan keterangan suami mangsa mengenai kejadian itu yang mengakibatkan anak lelakinya berusia 6 tahun maut.

Keluarga itu sebenarnya tidak menghuni apartmen itu dan sebaliknya tinggal di kawasan berdekatan.

“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai jatuh dari tingkat 10 apartmen berkenaan dan tiada saksi yang melihat kejadian itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Jelasnya, wanita berusia 34 tahun dan anak perempuannya yang berumur 7 tahun itu tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum kejadian.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, iaitu mencuba melakukan kesalahan membunuh diri.