Tinjauan: 36% rakyat AS sokong pentadbiran Trump

Menurut AP-NORC, kadar populariti Trump konsisten dan tidak pernah turun di bawah 32% atau meningkat melebihi 42% sejak menerajui pentadbiran negara pada Januari 2017. (Gambar AFP)

WASHINGTON: Sebanyak 36% rakyat Amerika menyokong pentabiran Presiden Donald Trump, sementara 62% lagi tidak bersetuju, menurut hasil tinjauan baru-baru ini.

Hampir 8 daripada 10 Republikan berpuas hati dengan prestasi keseluruhan Trump, manakala 20% lagi sebaliknya, lapor agensi berita Xinhua.

Berdasarkan tinjauan AP-NORC, 94% daripada Demokrat dan kira-kira 2/3 calon bebas menentang kepemimpinan Trump.

Angka ini agak konsisten. Kadar populariti Trump tidak pernah menurun di bawah 32% atau meningkat di atas 42% sejak menerajui pentadbiran negara pada Januari 2017, kata Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Awam AP-NORC.

Seramai 46% rakyat Amerika menyokong cara Trump mengendalikan ekonomi, 51% lagi tidak bersetuju.

Mengenai isu lain, hanya 36% rakyat Amerika menerima baik dasar luar dan dasar senjata Trump, 37% menyokong dasar penjagaan kesihatan dan hanya 38% menyokong dasar imigresennya.

Tinjauan membabitkan 1,058 responden dewasa dijalankan 15 hingga 19 Ogos.