Utamakan pemain tempatan, kata bos Dego Ride selepas Gojek diberi lampu hijau

Gojek merupakan syarikat gergasi Indonesia dalam perniagaan e-panggilan motosikal. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemilik syarikat perkhidmatan e-panggilan motosikal pertama Malaysia, Dego Ride, berharap kerajaan akan mengutamakan pemain tempatan, berikutan keputusannya memperkenalkan Gojek di negara ini.

Pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, pemain tempatan harus diberi peluang untuk membangunkan pasaran tersendiri dan mengukir nama mereka.

“Saya berharap Dego Ride diberikan pasaran tersendiri dalam pasaran luas perkhidmatan e-panggilan bagi membolehkan kami berkembang. Pesaing boleh dibenarkan, tetapi kami mahu satu pasaran tersendiri yang membolehkan kami membuat pengkhususan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof berkata, Kabinet bersetuju untuk memperkenalkan perkhidmatan e-panggilan motosikal Gojek di negara ini, namun belum membuat keputusan mengenai peraturan berkenaannya.

Gojek merupakan syarikat gergasi Indonesia dalam perniagaan e-panggilan motosikal.

Redzuan berkata, undang-undang baru mengenainya akan digubal sebelum akhir tahun ini.

Tahun lepas, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, Putrajaya tidak bercadang membenarkan perkhidmatan e-panggilan motosikal bagi melindungi keselamatan pemandu dan pembonceng memandangkan angka kemalangan maut melibatkan motosikal yang tinggi di seluruh negara sejak beberapa tahun.

Pada 2017 kerajaan mengharamkan Dego Ride berikutan kebimbangan mengenai keselamatan pemandu dan pemboncengnya.

Kementerian Pengangkutan berkata, analisis mendapati risiko pengguna motosikal terlibat dalam kemalangan maut adalah 42.5 kali lebih tinggi berbanding bas dan 16 kali berbanding kereta.

Nabil Feisal Bamadhaj.

Nabil berkata, beliau menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan perkhidmatan itu beroperasi di negara ini.

“Ia bukan sahaja lampu hijau kepada Gojek, tetapi juga membenarkan Dego Ride memulakan semula perkhidmatan kami.”

Beliau menjangkakan respons menggalakkan daripada orang awam terhadap perkhidmatan e-panggilan motosikal.