2 taman tema Malaysia antara ‘25 Taman Paling Menghiburkan di Asia’

Dua taman tema di Malaysia menerima pengiktirafan daripada TripAdvisor’s 2019 Travellers’ Choice Awards.

The Lost World of Tambun di Ipoh, Perak dan Legoland Malaysia di Johor Bahru, Johor masing-masing tersenarai di tangga ke-24 dan ke-25 menerusi kategori Top 25 Amusement Park in Asia (25 Taman Paling Menghiburkan di Asia).

Menurut TripAdvisor, anugerah itu menggambarkan tempat terbaik untuk mengembara yang dipilih oleh jutaan pengembara.

Kedudukan itu ditentukan berdasarkan kuantiti dan kualiti ulasan serta rating yang diberikan oleh ahli, kata kenyataan dalam laman web tersebut.

Ia bermaksud kedudukan itu ditentukan oleh kaji selidik oleh pengembara dan pelancong.

The Lost World of Tambun, sebuah taman tema yang terletak di bandar bersejarah Ipoh menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan mencabar buat seisi keluarga.

Ia dibina dengan berlatar belakangkan landskap semulajadi dan bersejarah di Ipoh termasuk bukit dan gunung.

Lokasi itu menawarkan sembilan taman tema berbeza termasuk Water Park, Lost World Amusement Park, Hippo Kingdom dan Luminous Forest.

Manakala Legoland Malaysia pula bertemakan Lego yang menggabungkan taman tema, taman tema air serta hotel.

Dengan lebih 70 permainan ditawarkan ia turut menarik minat pengunjung yang gemarkan cabaran dan pendidikan menjadikan ia destinasi terbaik seisi keluarga.

Dibina atas tanah seluas 50 padang bola sepak, ia turut mempunyai 15,000 model Lego menggunakan 60 juta bata Lego yang pertama di Asia dan terbesar di dunia.

Tiga lokasi teratas dalam senarai itu termasuk Universal Studio Singapura, Hong Kong Disneyland dan Universal Studio Osaka, Jepun.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]