AS naik tarif ke atas barangan China bernilai AS$250 bilion 1 Okt depan

Presiden AS Donald Trump berkata, tarif baru 30% ke atas barangan China bernilai AS$250 bilion akan dikenakan bermula 1 Okt ini. (Gambar AFP)

WASHINGTON: Amerika Syarikat akan menaikkan tarif ke atas barangan China bernilai AS$250 bilion daripada 25% kepada 30% mulai 1 Okt sebagai respons kepada tindakan China mengenakan tarif baru ke atas barangannya, umum Presiden Donald Trump.

“Mulai 1 Okt, barangan dan produk dari China yang bernilai AS$250 bilion, yang kini dikenakan cukai sebanyak 25% akan dikenakan cukai sebanyak 30%,” kata Trump menerusi Twitter pada Jumaat, lapor agensi berita Rusia Sputnik.

Presiden AS itu juga berkata, tarif ke atas baki barangan dan perkhidmatan China bernilai AS$300 bilion, yang akan berkuat kuasa pada 1 Sept kini akan meningkat dari 10% kepada 15%.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas China mendedahkan tarif balasan ke atas barangan AS bernilai AS$75 bilion.

Agensi berita China Xinhua melaporkan bahawa sejumlah 5,078 produk AS akan tertakluk kepada tarif tambahan sebanyak 10% atau 5%.

Kenaikan tarif itu akan dilaksana dalam 2 peringkat dan berkuat kuasa masing-masing pada pukul 1.01 pagi waktu Beijing 1 Sept dan pukul 1.01 pagi pada 15 Dis.