Berapa banyak hutang 1MDB telah dibayar balik, Najib tanya Guan Eng

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, pertambahan hutang di bawah kerajaan PH adalah 2 kali ganda lebih cepat berbanding ketika pentadbiran beliau.

PETALING JAYA: Najib Razak mempersoal penjelasan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa salah satu sebab kerajaan meminjam sebanyak RM58.1 bilion dalam tempoh 6 bulan tahun ini ialah untuk membayar htang 1MDB.

Bercakap kepada FMT, bekas perdana menteri itu berkata, setahu beliau tidak ada satu sen daripada jumlah prinsipal bon berkaitan 1MDB telah dikurangkan sejak pilihan raya umum ke-14.

Pada Julai, laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet yang dibentangkan di Dewan Rakyat mencatatkan hutang prinsipal 1MDB adalah sebanyak RM32.2 bilion setakat akhir 2018.

Semalam, ketika bercakap mengenai kebimbangan berhubung pinjaman kerajaan, Lim berkata, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) adalah terbuka dan telus dengan mendedahkan keseluruhan hutangnya, termasuk liabiliti kontigen dab jaminan kerajaan.

Beliau berkata, komitmen perbelanjaan pembangunan kerajaan lepas dan bayaran balik hutang 1MDB juga merupakan antara sebab hutang kerajaan bertambah.

Najib bagaimanapun mempersoalkan kenyataan itu dan menggesa Lim supaya mengemukakan bukti bahawa kerajaan PH membayar hutang prinsipal 1MDB.

“Bolehkah Lim jelaskan berapa banyak hutang prinsipal 1MDB telah dibayar dan dikurangkan? Bon 1MDB yang mana telah dibayar?

“Apakah yang berlaku kepada wang yang diterima daripada penjualan sebahagian daripada projek Bandar Malaysia sebanyak RM7.41 bilion awal tahun ini?”

Najib juga bertanya berapa banyak lagi lot tanah di bekas projek TRX telah dijual dan berapa banyak hasil yang ditperolehi bekas anak syarikat 1MDB itu sejak pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata, adalah “pelik” bagaimana kerajaan PH menyalahkan 1MDB bagi masalah yang dihadapinya, tetapi pada masa sama, memuji aset yang dibangunkan oleh 1MDB, terutamanya Bandar Malaysia dan TRX, sebagai aset bernilai.

Najib juga mengkritik Lim kerana mendakwa kerajaan terpaksa meminjam untuk membayar hutang dengan berkata, ia hanya menambah hutang kerajaan, bukan mengurangkannya.

Beliau mendakwa, pertambahan RM58 bilion hutang negara dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini adalah hampir 2 kali ganda lebih cepat berbanding pertambahan hutang semasa pentadbirannya.

Terdahulu, ahli ekonomi Barjoyai Bardai menggesa Putrajaya supaya mengurangkan perbelanjaan, dengan memetik angka Bank Negara Malaysia (BNM) yang menunjukkan kerajaan telah meminjam sebanyak RM58.1 bilion dalam 6 bulan pertama tahun ini.

Pensyarah di Universiti Tun Abdul Razak itu berkata, angka tersebut menunjukkan hutang kerajaan persekutuan bertambah daripada RM686.8 bilion pada akhir 2017 kepada RM799.1 bilion sekarang.

Angka BNM juga menunjukkan nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang menunjukkan aliran menurun sehingga 2018, meningkat 4% daripada 48.7% pada akhir suku pertama 2018 kepada 52.7% pada suku ke-2 2019.

Nisbah ini menghampiri had nisbah hutang kepada KDNK 55% yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri.