Hapus stigma hijrah ke bandar mampu ubah taraf hidup, kata penganalisis
Penganalisis sosial, Mohammad Shatar Sabran berkata penduduk kampung tidak perlu berdepan kesesakan lalu lintas dan menyewa rumah lebih murah kerana industri akan ke kawasan luar bandar jika ramai tenaga buruh kekal di sana.
KUALA LUMPUR: Penganalisis menasihatkan rakyat menghapuskan stigma penghijrahan dari luar bandar ke bandar mampu menyelesaikan masalah kewangan bagi memastikan mereka tidak terjerumus dalam “perangkap” miskin bandar.
Penganalisis sosial, Mohammad Shatar Sabran berkata stigma itu ialah tanggapan lebih 20 tahun lalu dan masyarakat luar bandar perlu lebih kreatif dalam mencari serta mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan mereka.
Katanya, ekoran faktor pembandaran dan proses modenisasi yang pesat, jurang antara bandar serta luar bandar dalam konteks Malaysia hari ini tidak jauh berbeza.
“Kini, kita boleh lihat pembangunan antara bandar dan luar bandar, contohnya dari Kuala Lumpur ke Melaka, mungkin kita hampir tidak perasan sudah melalui kawasan kampung dan luar bandar kerana fizikal sekitarnya tiada beza,” katanya kepada Bernama.
Shatar berkata, potensi mewujudkan peluang pekerjaan dan memajukan kawasan luar bandar akan berlaku jika tenaga buruh yang ramai dari kawasan itu kekal dan menghasilkan pelbagai inovasi bagi menarik perhatian industri untuk beroperasi di luar bandar.
“Sebab apa industri masih kekal di kawasan bandar sebab tenaga buruh ada di tempat itu, tenaga buruh datang kepada mereka (industri). Sekiranya tenaga buruh tidak datang, macam mana mereka (industri) nak dapatkan pekerja?
“Jadi, mereka (industri) ini akan fikir kalau pergi ke luar bandar, mereka akan ada pekerja dan kadar bayaran yang diberikan kepada pekerja dalam jumlah sesuai. Pekerja juga tidak perlu berdepan kesesakan lalu lintas dan sewa rumah lebih murah.”
Penganalisis ekonomi, Barjoyai Bardai berkata Malaysia menghadapi masalah kerana hampir 70% isi rumah berhijrah dari luar bandar ke bandar sejak 5 tahun lepas yang menjadi faktor penyumbang kepada kemiskinan bandar.
Katanya, kebanyakan mereka yang berhijrah ini akan menghadapi masalah mencari tempat tinggal selesa dan ada yang terpaksa tinggal di rumah setinggan di pinggir bandar kerana harga rumah jauh lebih murah berbanding di bandar.
“Kualiti hidup juga semakin merosot kerana terpaksa duduk sebagai setinggan di mana jika dibandingkan, mereka mungkin lebih selesa ketika tinggal di luar bandar walaupun bukan hidup dalam keadaan senang.”
Beliau berkata, pekerjaan yang dimiliki golongan ini juga kadangkala tidak seperti dibayangkan ketika mula keluar dari kampung dan mereka akhirnya tiada pilihan serta dibayar dengan kadar upah jauh lebih rendah daripada kos sara hidup di bandar.
“Contohnya, di Malaysia kita tentukan gaji minimum RM1,100 dan ada gaji mereka ini yang hanya melewati gaji minimum, sedangkan kos sara hidup iaitu minimum gaji RM2,500 (isi rumah bagi pasangan berkahwin dan beranak seorang) di bandar adalah jauh lebih tinggi berbanding di kampung.
“Walaupun mereka bekerja tetap dan ada yang bekerja di sektor awam, tapi pendapatan masih jauh lebih rendah daripada keperluan sara hidup minimum dan ini menjadikan mereka miskin relatif.”
Barjoyai berkata, antara langkah yang dapat dilakukan bagi meningkatkan taraf hidup adalah memulakan perniagaan untuk menjana pendapatan tambahan kerana sebelum ini pendapatan isi rumah hanya bergantung kepada gaji bulanan untuk menyara hidup.
Tetapi katanya, golongan itu mungkin menghadapi kekangan tertentu untuk memulakan perniagaan, antaranya waktu kerja tetap yang tidak fleksibel dan kesukaran mendapat pinjaman bank kerana tidak cukup syarat pinjaman.
Beliau berkata, penyelesaian jangka masa panjang terbaik ialah menggalakkan golongan itu pulang ke kampung kerana kawasan itu akan menjadi bandar kelak ekoran proses pembandaran yang sedang berlaku di seluruh negara.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kita boleh lihat dalam 20 tahun lagi, hampir 80 kawasan luar bandar di seluruh negara akan menjadi kawasan perbandaran, contohnya di Kedah.”