Isu berkait raja, agama dan kaum naik 2 kali ganda dari 2018, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin (kiri) menerima cenderahati buku daripada Ketua Penyelaras Akedemi Harimau Asia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas program “Bicara Kemerdekaan Kedua: Memperkasakan Industri Berteknologi Strategik Nadi Harimau Asia” di Akademi Kenegaraan di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata statistik polis menunjukkan isu “3R” iaitu agama, perkauman dan raja meningkat 2 kali ganda berbanding tahun lalu.

“Sudah terdapat kecenderungan tak baik berdasarkan 3R.

“Maknanya ada sesuatu yang tak baik disebabkan kenyataan pihak tertentu,” katanya selepas merasmikan program “Bicara Kemerdekaan Kedua: Memperkasakan Industri Berteknologi Strategik Nadi Harimau Asia” hari ini.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim melarang perhimpunan anti-Dr Zakir Naik dan tulisan khat diadakan di Brickfields atas faktor keselamatan.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melanggar perintah dan menasihatkan orang ramai mengelakkan kawasan itu.

Hari ini, Muhyiddin memberi amaran tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang menggunakan isu berkaitan raja, agama dan perkauman untuk merosakkan kestabilan serta keamanan yang didokong perjuangan pelbagai bangsa.

“Saya bimbang kalau kita tak kawal keadaan sebegini, maka dia boleh cetuskan keadaan ketidakstabilan dalam negara kita yang boleh ganggu usaha-usaha yang telah dilakukan selama ini.”

2 ditahan dalam himpunan di Brickfields

Muhyiddin menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap 2 individu yang ditahan dalam perhimpunan di Brickfields semalam.

Beliau turut mengingatkan semua pihak tidak bermain dengan Akta Hasutan yang masih digunakan kerajaan.

“Saya nak ingatkan jangan main-main. Saya sudah bagi arahan guna apa saja undang-undang selagi belum dimansuhkan, maka dia masih berkuatkuasa.”

Exco Perak diminta bercuti

Muhyiddin menyerahkan kepada pucuk pimpinan Perak untuk menyelesaikan isu berhubung Exco Perak, Paul Yong yang enggan bercuti selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol seorang pembantu rumahnya bulan lalu.

Kelmarin, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menasihatkan Yong yang juga Adun Tronoh bercuti daripada tugas rasmi sehingga perbicaraan kesnya selesai.

Tetapi, selepas mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan rogol itu, Yong semalam dilaporkan berkata, tiada sebab untuk beliau bercuti kerana belum disabitkan bersalah.

Beliau turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara polis menjalankan siasatan.

Terdahulu, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Ngeh Koo Ham membuat laporan polis mendakwa lelaki yang membawa pembantu rumah Yong membuat laporan polis terhadapnya dibayar RM100,000.

Beliau percaya ada muslihat di sebalik kes itu kerana mendakwa lelaki terbabit diugut dengan pistol supaya tidak membongkarkan rahsia dan mahu polis membuka semula kes rogol berkenaan.