Keadaan di KLIA beransur pulih selepas ganti peralatan rangkaian

Keadaan di KLIA terkawal dengan operasi di kaunter daftar masuk beransur pulih selepas peralatan rangkaian yang menjadi punca kegagalan rangkaian dan sistem digantikan. (Gambar Bernama)

SEPANG: Gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mula bertambah baik dengan kesesakan berkurangan dan orang ramai yang beratur di kaunter daftar masuk terkawal.

Ini selepas Malaysia Airports menggantikan peralatan rangkaian yang dikenal pasti menjadi punca kegagalan rangkaian dan sistem.

Gangguan sistem sejak Rabu malam lalu menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin berkata terdapat kemajuan dalam kestabilan rangkaian selepas peralatan itu digantikan.

“Sistem kritikal di terminal utama KLIA kebanyakannya berjalan dengan lancar kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jurucakap Malaysia Airports berkata, mereka masih memantau kestabilan sistem sejak penggantian peralatan itu.

Tinjauan Bernama pada 9.30 pagi tadi mendapati keadaan di KLIA terkawal dan kakitangan Malaysia Airports berada di serata tempat untuk membantu penumpang.

Duta Airport Care bekerja keras bagi memastikan keselesaan penumpang dengan mengedarkan teh dan kopi dari 6.30 pagi hingga 9 pagi.