Kedutaan China gesa Kanada, AS bebaskan ketua pegawai kewangan Huawei

Meng Wanzhou ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver pada 1 Disember 2018 atas permintaan AS yang ingin mengekstradisi beliau atas pertuduhan melakukan penipuan. (Gambar Bloomberg)

OTTAWA: Kedutaan China di Ottawa pada Jumaat menggesa Kanada dan Amerika Syarikat membebaskan Meng Wanzhou, ketua pegawai kewangan syarikat teknologi Huawei tanpa penangguhan lanjut serta memastikan beliau selamat pulang ke China, lapor agensi berita Xinhua.

“Insiden Meng bukan sekadar satu kes kehakiman, sebaliknya AS menggunakan kuasa negara untuk bekerjasama dengan sekutu tertentu bagi menekan perusahaan berteknologi tinggi swasta China dengan pertuduhan tidak wajar. Ini adalah tindakan buli biasa,” kata jurucakap kedutaan itu.

Beliau berkata, penahanan 2 rakyat Kanada, Michael Kovrig dan Michael Spavor oleh pihak berkuasa China “berbeza” dengan kes Meng kerana 2 lelaki itu ditahan mengikut undang-undang selepas disyaki melakukan jenayah yang boleh membahayakan keselamatan China.

“China adalah negara yang mendukung kedaulatan undang-undang. Pihak berkuasa kehakimannya mengendali kes secara bebas berdasarkan undang-undang,” kata jurucakap itu sambil menambah “semua negara harus menghormati kedaulatan undang-undang China dan tidak sembarangan mengkritik Beijing berkaitan isu berkaitan yang tergolong dalam kedaulatan undang-undangnya.

Meng ditahan pada 1 Disember 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver atas permintaan AS yang ingin mengekstradisi beliau atas pertuduhan melakukan penipuan.

Meng mahupun Huawei beberapa kali menafikan sebarang salah laku.