Kementerian utama keselamatan wanita, kanak-kanak, OKU guna Gojek, kata Hannah

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengutamakan aspek keselamatan bagi melindungi golongan wanita dan kanak-kanak sekiranya golongan itu menggunakan khidmat teksi motosikal Gojek apabila diperkenalkan nanti.

Timbalan Menterinya Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan memperincikan mekanisme mahupun cadangan berkaitan selepas menerima butiran lengkap daripada Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Tidak kiralah Grab (Grab Car), Gojek atau apa-apa saja, bagi pihak kementerian, kami melihat isu ini daripada aspek keselamatan untuk kanak-kanak, golongan wanita dan sudah tentu kami juga melindungi orang kurang upaya (OKU).

“Buat masa ini kami tiada maklumat lagi, tunggu butiran daripada MOT dulu dan kementerian kena buat kajian dan selepas itu baru beri secara rasmi apa-apa cadangan,” katanya selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Titiwangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan kementerian itu bagi mengelak golongan wanita daripada menjadi mangsa kejadian tidak diingini, termasuk jenayah semasa menggunakan khidmat pengangkutan menggunakan motosikal itu.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, pihaknya yakin dapat membentuk satu mekanisme baru dalam perlaksanaan perkhidmatan Gojek, termasuk mengambil kira aspek keselamatan penunggang dan pembonceng serta sensitiviti masyarakat Muslim.

Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata, sejak Januari lalu 29,000 warga emas kembali bekerja di seluruh negara.

“Sebanyak 63% daripada jumlah itu berumur antara 60 hingga 64 tahun dan kebanyakan mereka bekerja dalam sektor perkhidmatan.

“Ini adalah satu angka yang menggalakkan. Kita mahu kebajikan yang produktif dan tak mahu mereka selalu bergantung kepada kebajikan semata-mata,” katanya.