Malaysia perlu bukti kemampuan untuk kekal relevan, kata CEO Sapura Technologies

Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Secured Technologies Mohd Zarif Hashim.

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempunyai rancangan bagi menjadikan negara terus relevan dalam semua sektor dalam 5 atau 10 tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Secured Technologies, Zarif Hashim berkata, Malaysia perlu mengkaji apakah kekuatan yang dimilikinya dan diperlukan oleh dunia.

“Dulu kita relevan sebab kita berikan sesuatu, sekarang dalam dunia globalisasi dan kuasa besar menguasai perdagangan antara satu sama lain, maka apakah peranan Malaysia?

“Kita kena kaji apakah kekuatan Malaysia yang boleh dibangunkan dan menjadikan kita negara bertaraf dunia. Kalau tidak, kita tidak lagi relevan,” katanya dalam forum bertajuk “Kemerdekaan Kedua: Memperkasakan Industri Berteknologi Strategik Nadi Harimau Asia” di sini, hari ini.

Program itu dianjurkan Akademi Harimau Asia, sebuah akademi digital di bawah Inisiatif Harimau Asia yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk membawa Malaysia ke arah status negara maju dan disegani.

Zarif yang juga penasihat Akademi Harimau Asia berkata, walaupun Singapura sebuah negara kecil, tetapi ia masih bertahan kerana mempunyai rancangan untuk menghadapi dunia masa depan.

Katanya, Malaysia juga boleh melakukannya sekiranya ia mempunyai perancangan untuk menunjukkan kekuatan yang ada dan diperlukan dunia.

Beliau berkata, Malaysia dulu diperlukan kerana pada zaman kesultanan Melaka, negara China dan perdagangan dengan Eropah perlu melalui Selat Melaka.

Zarif berkata, jika Malaysia tidak kekal relevan, ia mungkin akan dijajah semula.

Katanya, Malaysia juga jangan dijajah mindanya dengan doktrin negara Barat.

“Mesti ukur sendiri di mana kita. Kena ada strategi sendiri, jangan tertakluk kepada polisi yang dikeluarkan mereka,” katanya.