Maszlee: ‘Perubahan’ di Kementerian Pendidikan hanya khabar angin

Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyifatkan dakwaan kononnya akan berlaku perubahan dalam kementeriannya hanyalah khabar angin.

Beliau berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan setiap kali beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Semalam saya bersama perdana menteri, tidak ada dibincangkan perkara tersebut…yang dibincangkan supaya menambah baik penguasaan Bahasa Inggeris dan juga bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

“Setiap kali pertemuan (dengan perdana menteri), itu perkara yang beliau minta saya beri perkembangan terkini,” katanya selepas merasmikan Projek Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) Perpustakaan Mini dan Tuition Mission Percuma bagi golongan B40 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, di sini hari ini.

Maszlee berkata demikian ketika ditanya mengenai ura-ura kononnya bakal berlaku perubahan dalam Kementerian Pendidikan, dengan diwujudkan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau berkata gabungan dilaksanakan dalam Kementerian Pendidikan kini membawa keselarian antara 2 kementerian yang diasingkan dahulu.

“Saya kira sekarang perlu ada keselarian di antara sektor pendidikan tinggi dan rendah. Malah banyak kejayaan apabila kita sekalikan kedua-duanya. Contohnya banyak dasar kita dapat selarikan di bawah satu bumbung,” katanya.

Sebelum ini, timbul khabar angin akan berlaku rombakan Kabinet, namun Dr Mahathir menafikan laporan itu, sebaliknya berkata terdapat cadangan untuk melakukan sedikit pertukaran portfolio dalam kalangan anggotanya.