Nizar gagal pertahan jawatan AJK Amanah Gopeng

Kepimpinan Amanah kawasan Gopeng yang baru diketuai Badrin Abdul Khalid (duduk 5 dari kiri) selepas mesyuarat tahunan parti itu di Ipoh hari ini.

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin gagal mempertahankan jawatan sebagai ahli jawatankuasa Amanah kawasan Gopeng pada mesyuarat tahunan parti berkenaan, hari ini.

Keputusan itu disahkan selepas pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Perak, Akhiruddin Taib mengumumkan keputusan pengundian, selepas proses undian dan pengiraan undi selesai.

“Nizar yang juga merupakan bekas menteri besar Perak gagal mengekalkan jawatannya sebagai ahli Jawatankuasa Amanah kawasan Gopeng selepas tidak memperoleh undi 15 teratas.

“15 orang ahli jawatankuasa yang menang itu rata-rata adalah muka lama yang diberi kepercayaan untuk meneruskan tanggungjawab mengemudi Amanah kawasan itu,” kata Akhiruddin.

Ali Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat itu tewas dalam perebutan jawatan sebagai ahli jawatankuasa pada mesyuarat tahunan Amanah kawasan Gopeng yang berlangsung di sebuah hotel di Ipoh, hari ini.

Pada pemilihan hari ini, seramai 70 perwakilan mengundi memilih 15 ahli jawatankuasa daripada 22 calon yang bertanding.

Setelah diumumkan keputusan, 15 ahli Jawatankuasa yang baru mengadakan mesyuarat untuk melantik ketua, timbalan ketua dan naib ketua Amanah kawasan tersebut.

Penyandang, Badrin Abdul Khalid berjaya mempertahankan jawatannya sebagai ketua Amanah kawasan, manakala Shahari Anuar Ibrahim sebagai timbalan.

Naib ketua pula masing-masing dipegang oleh Mat Razali Abdul Rahman dan Ir Abdul Aziz Omar.