Pakistan terus gesa PBB campur tangan isu Kashmir

Pakistan berkata tindakan India memansuhkan status istimewa Jammu dan Kashmir mencabul Piagam PBB, resolusi Majlis Keselamatan, undang-undang antarabangsa dan komitmen negara itu sendiri. (Gambar Reuters)

KARACHI: Pakistan pada Jumaat menghantar sepucuk lagi surat kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNHCHR) mendesak campur tangan badan dunia itu untuk menghentikan “krisis kemanusiaan” di wilayah Jammu dan Kashmir yang ditadbir India, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Menteri Luar Shah Mehmood Qureshi dalam sepucuk surat mengetengahkan secara terperinci konteks dan kesan India memansuhkan status istimewa Jammu dan Kashmir pada 5 Ogos,” menurut kenyataan Pejabat Luar Pakistan.

Meluahkan kebimbangan terhadap “penderitaan manusia yang semakin meningkat dan pelanggaran lanjut hak asas penduduk Kashmir,” surat Qureshi menggariskan bahawa tindakan India mencabul Piagam PBB, resolusi Majlis Keselamatan yang berkaitan, undang-undang antarabangsa dan komitmen negara itu sendiri.

Terdahulu pada 4 Ogos, Qureshi menulis kepada Michelle Bachelet daripada UNHCR selain berbual di telefon dengannya pada 8 Ogos berkaitan isu Kashmir, menurut Pejabat Luar.

Surat itu turut dikongsi dengan anggota Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB.